‘Persekutuan beri bonus raya guna wang hak negeri’


‘Persekutuan beri bonus raya guna wang hak negeri’

Federalisme tempang: Negeri terus bergantung kepada Persekutuan
March 27, 2025

KUALA LUMPUR: Perbandingan pemberian bonus raya antara negeri menjadi bukti ketidakseimbangan sistem federalisme di Malaysia, kata Penyelidik Kluster Perlembagaan, Undang-undang dan Hak Asasi, Muna ‘Adila Che Rime.

Menurut beliau, walaupun Perlembagaan memberikan kuasa kepada kerajaan negeri, amalan pentadbiran menunjukkan Kerajaan Persekutuan mempunyai pengaruh besar yang memberi kesan langsung kepada prestasi kerajaan negeri.

“Mudah cerita, nama sahaja federalisme tetapi hampir semua keputusan atau perancangan kerajaan negeri tetap perlu melibatkan Kerajaan Persekutuan,” kata beliau dalam media sosial miliknya.

Kebergantungan kewangan negeri

Muna menjelaskan bahawa negeri-negeri di Malaysia mempunyai tahap kebergantungan fiskal yang tinggi terhadap Kerajaan Persekutuan, kerana agihan hasil berat sebelah telah ditetapkan dalam Perlembagaan.

“Biasa kan kita dengar kerajaan negeri berhutang dengan Kerajaan Persekutuan. Adakah ini menandakan sesebuah kerajaan negeri itu lemah? Jawapannya tidak.

“Hal ini kerana Perlembagaan yang memberikan sebahagian besar agihan hasil kepada Kerajaan Persekutuan. Kerajaan negeri terpaksa meminjam kerana agihan yang diberikan daripada awal adalah berat sebelah,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa penuh dalam menentukan keadaan kewangan negeri.

Muna berkata, terdapat negeri dipaksa membayar hutang, manakala ada yang mendapat akses mudah untuk pinjaman atau diberi peluang menstrukturkan semula hutang mereka.

“Sedangkan dalam konsep federalisme, Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu ada agihan kuasa dan kewangan yang lebih seimbang, dan itu tidak berlaku semasa pembentukan Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.

Selain itu katanya, pemberian dana daripada Kerajaan Persekutuan kepada negeri juga tidak mempunyai formula khusus, kecuali untuk geran per kapita dan geran MARRIS.

Itu jelasnya menyebabkan jumlah peruntukan yang diterima negeri banyak bergantung kepada keputusan kerajaan semasa.

Ekonomi negeri ditentukan Kerajaan Persekutuan

Selain kewangan katanya, hala tuju ekonomi negeri juga ditentukan oleh dasar Kerajaan Persekutuan, termasuk dalam pelaburan dan pembangunan infrastruktur.

“Walau bagaimana hebat sekalipun rancangan seorang Menteri Besar, hala tuju ekonomi tetap ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan. Caranya bagaimana? Melalui dasar kerajaan untuk membangunkan infrastruktur di koridor-koridor ekonomi tertentu.

“Semudah mencari pelaburan, juga memerlukan kelulusan kerajaan Persekutuan,” jelasnya memberi contoh keputusan Kerajaan Persekutuan mengenakan moratorium terhadap pengeksportan mentah NR-REE.

Menurut Muna, itu memberi kesan langsung kepada negeri seperti Terengganu, yang telah merangka perancangan rapi bagi membangunkan industri tersebut.

“Peluang untuk bangunkan industri baharu seperti REE? Kan boleh membuka peluang pekerjaan? Bukan Terengganu tidak ada perancangan.

“Kuasa Kerajaan Persekutuan dalam mengawal pembangunan industri dan pelaburan di negeri-negeri, mengurangkan keupayaan kerajaan negeri untuk menentukan hala tuju ekonomi mereka sendiri,” terangnya.

Peruntukan disalurkan secara tidak langsung

Muna turut mempersoalkan dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan berlaku adil dalam menyalurkan peruntukan kepada negeri pembangkang.

“Lihat sahaja jumlah peruntukan yang disalurkan kepada negeri pembangkang. Persoalannya, kepada siapa?

“Kepada kerajaan negeri yang dipilih rakyat atau kepada agensi persekutuan yang ditubuhkan untuk menguruskan projek atau kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung yang hanya wujud di negeri-negeri pembangkang?” soalnya.

Beliau berkata, tindakan menyalurkan dana secara tidak langsung kepada negeri pembangkang menyebabkan Menteri Besar hilang hak untuk menguruskan peruntukan yang sepatutnya diberikan kepada kerajaan negeri.

“Menteri Besar sendiri hilang hak untuk menguruskan peruntukan yang disalurkan terus kepada kerajaan negeri lain, disekat pula kiri dan kanan, kemudiannya diharapkan agar memberi hasil yang sama dengan negeri lain. Sungguh menyedihkan!

“Semua ini nampak seperti alasan yang membosankan untuk mereka yang sudah biasa menerima segala kelebihan, tetapi tidak untuk rakyat negeri-negeri yang sudah lali dianak-tirikan,” katanya.

Jurang ekonomi antara negeri perlu diperbaiki

Menurut Muna, pemusatan kuasa di peringkat Persekutuan menyukarkan negeri-negeri seperti di Pantai Timur untuk bersaing dengan negeri lain yang lebih maju.

Beliau mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan melaksanakan sistem ‘equalization payment’, seperti di negara lain, bagi merapatkan jurang ekonomi antara negeri.

Jika itu tidak dapat dilakukan katanya, sekurang-kurangnya hak royalti rakyat Terengganu harus dikembalikan mengikut terma perjanjian asal.

“Jika kita boleh memahami bagaimana pelajar yang ‘underprivilege’ tidak mampu bersaing dengan pelajar biasa kerana kurangnya akses pendidikan dan sokongan sosial, kenapa kita tidak boleh buka mata dan melihat kenapa negeri-negeri Pantai Timur mengalami kesukaran untuk bersaing dengan negeri lain?” katanya. – HARAKAHDAILY 27/3/2025

Ulasan