PH tolak idea PN kerana takut kalah PRU nanti


PH tolak idea PN kerana takut kalah PRU nanti
March 26, 2025

KUALA LUMPUR: Cadangan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri agar penduduk yang bermastautin di Selangor mengundi di negeri itu perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, prinsip asas cadangan itu mempunyai kesan yang lebih meluas, iaitu seseorang hanya mengundi di lokasi ia bermastautin.

Menurutnya, ketika menganggotai Jawatankuasa Khas untuk mengkaji semula sistem dan undang-undang pilihan raya (ERC) dibentuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan dipengerusikan Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, topik ini telah ditimbulkan.

Kata beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, anggota ERC, termasuk dirinya telah memberikan beberapa idea ke arah pengundian di lokasi seseorang itu bermastautin.

“Bagi saya, jika seseorang mengundi di lokasi yang dia tidak bermastautin (seperti kampung kelahiran yang telah bertahun-tahun ditinggalkan), ia menimbulkan pertembungan dengan prinsip asas demokrasi.

“Iaitu kuasa memilih wakil rakyat perlu dipegang oleh mereka yang akan menerima kesan daripada pilihan yang dibuat, bukan yang tidak merasa apa-apa kesan akibat pilihan pengundi.

“Tidak wajar seseorang yang hanya pulang untuk seminggu dua dalam setahun menentukan wakil rakyat yang akan memegang jawatan untuk lima tahun di tempat itu.

“Jika ini berlaku, ia bermaksud individu yang telah menjadi orang luar dan tidak menetap di situ seperti merampas kuasa penduduk setempat untuk menentukan wakil rakyat mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Datuk Wan Saiful juga berkata, tidak wajar untuk seseorang yang tinggal di sesuatu lokasi bertahun-tahun, tetapi sengaja pergi mengundi di tempat lain.

“Keadaan ini seperti dia tidak mempedulikan siapa yang mewakili kawasan sendiri dan tidak mahu bertanggungjawab kepada lokaliti sendiri.

“Memang sepatutnya demokrasi di Malaysia memastikan bahawa konsep ‘local representation’ ditegakkan. Ini juga adalah satu bentuk reformasi institusi.

“Saya meminta kita mengenepikan pertimbangan sempit kepartian seperti yang ditunjukkan oleh beberapa ahli politik Pakatan Harapan (PH) dalam isu ini,” katanya.

Beliau berkata, perkara ini adalah lebih besar daripada kerakusan PH untuk berkuasa semata-mata, selain penolakan membuta tuli adalah tanda mereka tidak faham mengenai nilai sebenar perwakilan tempatan.

Katanya, ada yang mengatakan PH memang mahu pengundi Melayu keluar dari kawasan tertentu dan mengundi di tempat lain kerana keadaan itu jika berterusan akan memberi kelebihan kepada PH.

“Perkara ini tiada kena mengena dengan bangsa atau agama. Kalau orang Cina atau India menetap di sesuatu lokaliti, mereka juga wajar mengundi di lokaliti itu secara inklusif.

“Adalah tidak wajar PH menolak cadangan yang baik semata-mata disebabkan takut kalah pilihan raya,” katanya.

Ab Halim pada 13 Mac lalu, menyuarakan harapan agar penyokong Perikatan Nasional (PN) yang bermastautin di Selangor berdaftar sebagai pengundi di negeri itu.

Ia dalam usaha meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 akan datang. – HARAKAHDAILY 26/3/2025

Ulasan