
REACH bantah URA, gesa kerajaan batalkan cadangan
‘Tidak benar hanya URA dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat’
March 27, 2025
KUALA LUMPUR: Pusat Sumber Untuk Pembangunan Masyarakat dan Perumahan (REACH) menegaskan tidak bersetuju dengan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang akan dibentangkan di Parlimen dalam sidang akan datang.
Ketua Penyelaras REACH, Dato’ Iskandar A Samad turut menyatakan pendirian terhadap Ekspedisi Pembaharuan Semula Bandar (XPDC PSB) anjuran Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 29 April nanti.
Menurut beliau difahamkan bahawa ekspedisi itu bertujuan melawat kawasan-kawasan usang yang tidak kondusif serta pembangunan telah berjaya dilaksanakan.
“REACH mengakui terdapat pembangunan yang usang, tidak selamat dan tidak kondusif untuk didiami oleh rakyat justeru tidak dapat dinafikan perlu terdapat inisiatif-inisiatif untuk memastikan rakyat menikmati kehidupan yang lebih selesa dan sempurna.
“REACH bersetuju pembaharuan semula bandar adalah salah satu dari inisiatif tersebut. Bagaimanapun, pembaharuan semula bandar boleh dilaksanakan tanpa URA,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau merujuk kepada projek seperti Razak Mansion, Salam Selatan, di mana 658 penduduk asal menerima kediaman baharu dan lebih luas, sebagai bukti pembangunan semula yang berjaya tanpa URA.
“Oleh yang demikian, tidak benar hanya URA dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya turut menambah, bukan hanya REACH yang tidak bersetuju dengan URA, tetapi juga parti-parti politik, NGO serta para profesional dari pelbagai kaum.
Jelasnya turut membantah cadangan pengurangan ambang persetujuan (consent) daripada 100 peratus kepada 80 peratus, 75 peratus dan 51 peratus, bergantung kepada jenis pembangunan yang akan dilaksanakan.
Beliau berkata, perubahan itu dikatakan akan menafikan hak penduduk yang tidak bersetuju.
Menurut Iskandar, REACH bukan sekadar menolak URA tetapi telah mengemukakan cadangan balas, yang dirumuskan dalam satu resolusi pada persidangan meja bulat di Ampang, Selangor pada 29 Jun 2024.
“REACH sentiasa menyokong sebarang inisiatif untuk membantu golongan miskin dan masyarakat Bumiputera tetapi tidak akan bersetuju dengan URA yang tidak secara jelas dan nyata menyatakan langkah-langkah untuk menjamin kepentingan mereka kerana janji-janji lisan pemimpin kerajaan tidak mengikat menurut undang-undang,” tegasnya.
Selain itu beliau berkata, REACH turut berkongsi kebimbangan masyarakat Bumiputera bahawa URA boleh mencairkan peratusan mereka di bandar-bandar utama, kecuali di Pantai Timur dan Utara Semenanjung.
Sehubungan itu, REACH tegasnya, menggesa kerajaan membatalkan cadangan meluluskan URA serta memperkukuhkan akta dan garis panduan sedia ada bagi membantu golongan miskin dan masyarakat Bumiputera.
“REACH menggesa kerajaan meneliti resolusi meja bulat kami dan menerapkannya ke dalam sebarang akta pembaharuan semula,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/3/2025
Ulasan
Catat Ulasan