
Terpaksa hidu bau busuk air banjir setiap hari: Mangsa banjir termenung
Oleh Alias Abd Rani - Mac 27, 2025 @ 2:42pm
Mohd Solehan menunjukkan rumahnya Kampung Parit Jayus, Sri Medan kena banjir termenung sehingga penduduk terpaksa hidu bau busuk. - Foto NSTP/Alias Abd Rani
BATU PAHAT: "Kami kena hidu bau busuk air banjir ini setiap hari. Selagi tak surut, selagi itulah kami kena hadapinya, paling kurang seminggu lagi baru pulih," kata Mohd Solehan Simigen, 34, antara penduduk Sri Medan yang kini dibelenggu banjir termenung sejak seminggu lalu.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan bau busuk sehingga penduduk tak lalu makan.
"Kalau air pasang, bau akan hilang seketika, bila surut, datang balik bau itu. Inilah yang berlaku setiap kali kami kena banjir, namun kami reda," katanya ditemui di Kampung Parit Jayus, hari ini.
Disebabkan masalah itu selain air banjir belum surut, dia terpaksa melupakan hasrat membuat persiapan Aidilfitri.
"Tengok keadaan rumah dan kawasan luar kami masih belum dibersihkan jadi, kami tak beraya tahun ini.
"Ini dugaan kali kedua pada Ramadan selepas tahun 2023. Cuma kali ini tidak seteruk dua tahun sebelumnya apabila air masuk rumah hingga paras tengkuk.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Pikati Yaiman, 54, berkata kediamannya juga menerima nasib sama terpaksa bau banjir termenung sejak seminggu lalu.
Dia terpaksa mengharungi banjir dengan air mencecah paras betis setiap kali keluar rumah untuk membeli barang keperluan atau urusan lain.
"Kami harap dalam keadaan cuaca kembali elok akan mempercepatkan air surut. Kalau ada rezeki kami sambut Aidilfitri," katanya.
Dalam pada itu, tinjauan di beberapa kawasan di Sri Medan antara Parit Baru dan Parit Warijo mendapati masih banyak rumah penduduk terjejas banjir termenung.
Ulasan
Catat Ulasan