
Tiada seorang pun pemimpin kerajaan turun menjengah
Kampung Sungai Baru
March 27, 2025
SHAH ALAM: Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Zurk Ahmad mempersoal tindakan kerajaan terhadap penduduk Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur yang dipaksa keluar daripada kediaman mereka.
“Di saat kehangatan penghujung Ramadan, ada segelintir rakyat Malaysia dipaksa keluar dari kampung yang didiami sekian lama. Mereka bukan pendatang atau warga asing.
“Kebanyakan mereka adalah keluarga Melayu yang tinggal di sebuah tanah rizab Kawasan Penempatan Pertanian Melayu (MAS) yang diwartakan.
“Di mana suara kerajaan terhadap nasib keluarga yang bakal merempat ini? Mereka menerima notis pengosongan segera dan sebelumnya telah ‘dipagar’ bagai banduan di tanah sendiri.
“Penceroboh melanggar prosedur pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Zurk, pemaju tidak mematuhi arahan dan membahayakan keselamatan penduduk apabila menggunakan jentera berat tanpa kebenaran.
“Tidak ada seorang pun pemimpin kerajaan yang sudi turun berjumpa mendengar keluhan dan suara hati keluarga-keluarga yang menjadi mangsa walupun dipanggil berkali-kali.
“Mujur keputusan daripada mahkamah (25 Mac) membenarkan kediaman flat penduduk tidak dirobohkan buat sementara waktu sehingga permohonan penuh dibicarakan pada 22 April.
“Dalam tempoh itu, penduduk masih tidak boleh duduk selesa kerana berita baik belum pasti menyebelahi penduduk. Perjuangan ini belum selesai. Apa nasih mereka selepas ini dan apa tindakan kerajaan,” soalnya.
Menurut Zurk, penduduk tidak mahu dibeli dengan pampasan, tetapi mereka mahu terus terus tinggal di tanah warisan yang sepatutnya dikekalkan agar tidak lupus kampung Melayu di bandar.
“Afidavit diterima penduduk mengatakan pemaju akan membina kondo mewah di kawasan tersebut dan dijual kepada orang luar.
“Nilai tanah di situ akan melonjak tinggi dan segala pembangunan yang bakal dibuat meningkatkan kos sara hidup di kawasan tersebut yang sedia membebankan.
“Apa yang telah berlaku sebelum ini membuktikan mustahil penduduk asal di situ akan kembali dan rakyat yang mencari sumber pendapatan di situ tidak lagi dapat meneruskan hidup di kawasan mewah itu.
“Di saat negara kita belum mempunyai Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA), begini parah sudah keadaannya, bayangkan selepas Akta URA ini diperkenalkan?
“Pastinya pihak pemaju akan lebih bongkak dan angkuh ketika proses pengambilan tanah selepas ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/3/2025
Ulasan
Catat Ulasan