

Berita
MCMC panggil pempengaruh tawar 'scrut' Nurul Izzah
Diterbitkan: Apr 24, 2025 10:57 PM
Dikemaskini: 10:57 PM
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah memanggil seorang pempengaruh untuk disoal siasat berhubung siaran Facebook yang menawarkan untuk membuat carian latar belakang terperinci ke atas Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, melalui sistem yang dikenali sebagai “Scrut Analytica”.
Dalam hantaran media sosialnya, pengasas bersama sistem itu, Aliff Ahmad berkata dia menerima notis rasmi memanggilnya untuk hadir di ibu pejabat MCMC di Cyberjaya pada 8 malam hari ini.
Bagaimanapun, Aliff berkata dia memaklumkan pegawai itu bahawa dia tidak dapat hadir untuk sesi soal siasat, sebaliknya menuntut pihak berkuasa mengemukakan waran tangkap.
"Aku ada hal. Aku tak boleh datang. Aku suruh pagi esok diorang pergi jumpa majistret tunjuk hantaran aku, minta waran tangkap.
"Buatlah dokumen sikit malam ini," katanya.
Hantaran itu disertakan tangkapan skrin hantaran sebelum ini ketika dia membuat tawaran melakukan 'scrut' (membuat carian) mengenai kerja dan sumber pendapatan Nurul Izzah sekiranya mendapat 20,000 perkongsian di Facebook.
Aliff juga menambah bahawa dia sebelum ini pernah membuat laporan kepada MCMC berhubung laman web yang didakwa menjual data Jabatan Pendaftaran Negara yang bocor.
Namun, katanya, tiada tindakan yang dilakukan terhadap laman web itu dan sehingga hari ini, ia masih beroperasi.
"Aku rasa kelakar apabila MCMC beriya nak siasat hantaran yang aku pasti tiada apa-apa kesalahan undang-undang mahupun jenayah di dalamnya.
"Walhal di luar sana berapa banyak hantaran, video atau gambar yang jelek, jijik, lucah, porno dan dahsyat yang terang-terangkan melanggar undang-undang dan akta komunikasi dan multimedia yang patut disiasat.
"Tetapi, sehingga hari ini mereka masih berbahagia hidup seperti biasa," katanya.
Aliff berkata dia sudah memaklumkan pegawai MCMC bahawa dia akan hadir di pejabat suruhanjaya itu pada 10 pagi esok.
"Siapa ada kelapangan, kita jumpa di sana. Aku takut? Tidak. Aku sangat teruja. Mungkin inilah alasan kuat aku untuk buat 'scrut' Nurul Izzah walaupun perkongsian masih tidak cukup 20,000.
"Aku letak 20,000 sebab asalnya aku tak nak buat. Kalau capai baru buat. Apa pun, kalau ada yang menjual. Aku rela membeli. Marilah," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan