Pempengaruh dakwa dipanggil SKMM kononnya berkaitan 'scrut' Nurul Izzah


Pempengaruh dakwa dipanggil SKMM kononnya berkaitan 'scrut' Nurul Izzah

25 April 2025 10:57am
Masa membaca: 2 minit

Nurul Izzah Anwar

Untuk berita terkini Sinar Harian, ikuti di Telegram dan TikTok kami
CYBERJAYA – [DIKEMAS KINI] Seorang pempengaruh media sosial, Aliff Ahmad mendakwa dirinya dipanggil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membantu siasatan pada malam Khamis.

Katanya, tindakan itu dibuat suruhanjaya berkenaan dipercayai berhubung satu hantaran dimuat naik di Facebooknya yang menawarkan untuk menjalankan semakan latar belakang terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menggunakan sistem 'Scrut Analytica'.​

Aliff, yang juga pengasas bersama sistem tersebut, memaklumkan bahawa beliau menerima notis rasmi untuk hadir di ibu pejabat SKMM di Cyberjaya pada jam 8 malam pada Khamis.​

Bagaimanapun, beliau menyatakan tidak dapat hadir pada waktu yang ditetapkan dan meminta pihak berkuasa mengemukakan waran tangkap sekiranya perlu.​

"Saya ada urusan lain dan tidak dapat hadir.

"Saya minta mereka pergi ke mahkamah esok pagi untuk mendapatkan waran tangkap jika perlu," katanya menerusi hantaran di media sosial.​



Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memanggil seorang pempengaruh media sosial, Aliff Ahmad untuk disoal siasat pada malam Khamis.

Sebelum ini, Aliff menawarkan untuk melakukan semakan terhadap pekerjaan dan sumber pendapatan Nurul Izzah sekiranya hantaran tersebut mendapat 20,000 perkongsian di Facebook.​

Beliau turut menyatakan bahawa sebelum ini pernah membuat laporan kepada SKMM mengenai laman web yang didakwa menjual data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang bocor, namun tiada tindakan diambil dan laman tersebut masih beroperasi.​

"Saya rasa lucu apabila SKMM bersungguh-sungguh menyiasat hantaran saya yang saya yakin tidak melanggar undang-undang, sedangkan banyak kandungan lain yang jelas melanggar undang-undang masih berleluasa," katanya.​

Aliff memaklumkan bahawa beliau akan hadir di pejabat SKMM pada jam 10 pagi hari ini untuk sesi soal siasat.​

"Saya tidak takut, malah teruja. Mungkin ini alasan kukuh untuk saya melakukan 'scrut' terhadap Nurul Izzah walaupun belum mencapai 20,000 perkongsian," tambahnya.​

Ulasan