

Berita
Sajak, kenyataan media dalam kapsul masa gamit memori Dr M
Diterbitkan: Apr 13, 2025 1:08 PMDikemaskini: 2:43 PM
Walau dalam keadaan tangan berbalut kerana kecederaan tertentu, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad membuka kapsul masa Wawasan 2020 pada program yang berlangsung di Menara Kuala Lumpur, hari ini.
Kapsul masa yang disimpan sejak 1 Oktober 1996 itu kini berusia kira-kira 28 tahun yang menyimpan pelbagai barangan terpilih.
Pada majlis itu Dr Mahathir tampil membuka kapsul dan mengeluarkan barang-barang yang terdapat di dalamnya termasuklah gambar-gambar pembinaan Menara Kuala Lumpur, wang kertas RM2, poster Menara Kuala Lumpur, filem gambar, keratan iklan Menara Kuala Lumpur, cakera padat video (VCD) dan beberapa barang lain lagi.
Hadir sama Dr Hasmah Mohd Ali, bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, Pengarah Urusan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd dan beberapa bekas menteri kabinet.
Pada sidang medianya, Dr Mahathir yang kini berusia 99 tahun berkata dia langsung tidak menyangka masih berpeluang untuk membuka kapsul berkenaan di usianya sekarang.

“Saya tak menyangka (masih) dapat lihat barang-barang (dalam kapsul), saya fikir masa itu saya dah tak ada lagi.
“Saya masih (boleh) berusaha membuka dan membaca (kenyataan media) dan tengok isi kandungan (lain).
“Ini satu perkara yang saya syukur teramat sangat,” katanya pada sidang media.
Terdahulu Dr Mahathir juga membaca sebuah sajak bertema patriotik yang disimpan dalam kapsul masa berkenaan.
Tambah perdana menteri keempat dan ketujuh itu, kenyataan media dan sajak tersebut antara barang-barang yang menggamit memorinya.
Kapsul masa itu sepatutnya dibuka pada 2020 namun ditangguhkan kerana pelbagai faktor termasuk pandemik Covid-19.
Isu pengambilalihan Menara KL
Sementara itu mengulas mengenai isu pengambilalihan pengurusan Menara Kuala Lumpur, Dr Mahathir menyifatkan langkah kerajaan sebagai mengurangkan peranan Bumiputera.
“Kenapa nak dijual kepada orang lain? Ia sudah diswastakan, ini satu daripada kejayaan Bumiputera, mereka mendirikan menara dan mentadbir menara.
“Tetapi nak ambil daripada Bumiputera, nak mengurangkan peranan Bumiputera ini bukan dasar negara.
“Kalau ada kerugian dan masalah lain, kita bolehlah fikir perubahan pengurusannya. Tetapi setakat yang saya tahu tak ada masalah, dengan (pengurusan) menara ini,” katanya.
Terdahulu, Hydroshoppe dan anak syarikatnya Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB), menyuarakan kebimbangan mereka bahawa polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bertindak mengusir mereka dan menyifatkan tindakan itu sebagai “penyalahgunaan kuasa.”
Mereka turut menegaskan tindakan tersebut akan bercanggah dengan prosiding mahkamah yang masih berjalan.
Hydroshoppe melalui MKLSB telah dilantik untuk mengendalikan mercu tanda ikonik ibu negara itu pada tahun 2022 namun mendakwa kerajaan telah menamatkan perjanjian secara tidak sah pada November tahun yang sama.
Kerajaan kemudiannya menganugerahkan konsesi kepada LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM) pada Mei tahun lalu, iaitu satu usaha sama antara dua syarikat — LSH Best Builders Sdn Bhd dan Service Master (M) Sdn Bhd.
Hydroshoppe dan MKLSB telah mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan dan pemegang konsesi baru itu, menuntut ganti rugi sebanyak RM1 bilion serta pengisytiharan mahkamah bahawa perjanjian 2022 masih sah dan mengikat.
Mereka turut memohon agar mahkamah mengesahkan bahawa mereka masih berhak kepada konsesi selama 30 tahun bermula 31 Disember 2022, dan mendakwa kerajaan telah melanggar amanah dengan menganugerahkan konsesi tersebut kepada entiti lain.
Pada 1 April, Kementerian Komunikasi menegaskan bahawa Menara Kuala Lumpur adalah milik kerajaan dan pengambilalihan konsesi hanya melibatkan perubahan pengurusan serta operasi yang telah dilaksanakan melalui notis pelawaan cadangan (RFP).
Ulasan
Catat Ulasan