Tandatangan dah letak, baru menyesal?



Tandatangan dah letak, baru menyesal?
AMBIL masa untuk membaca setiap perjanjian sebelum menurunkan tandatangan.
Oleh Meja Rencana
17 April 2025, 9:00 am

Setiap hari, ramai di antara kita tanpa berfikir panjang menurunkan tandatangan pada dokumen perjanjian sama ada pinjaman peribadi, pembelian rumah, perjanjian sewa atau kontrak pekerjaan. Malangnya, hanya selepas berdepan masalah seperti bayaran tersembunyi, syarat berat sebelah atau janji manis yang tidak ditepati, barulah mereka tersedar, “Saya tidak faham apa yang saya tandatangan tadi.”

Menurut statistik, jumlah kerugian jenayah penipuan dalam talian mencecah lebih RM2.6 bilion dalam tempoh kurang tiga tahun, dengan 266,230 kes penipuan dalam talian dilaporkan membabitkan akaun keldai bagi tahun 2020 hingga Jun tahun ini.

Lebih membimbangkan, Malaysia kini memegang rekod tertinggi di Asia dalam kes mangsa paling senang kena scam bagi penipuan dalam talian, dengan purata mangsa menjadi sasaran semula lebih daripada 2.5 kali.

Kes-kes ini sering melibatkan perjanjian atau kontrak yang tidak difahami sepenuhnya oleh mangsa, membuka ruang kepada eksploitasi dan penipuan. Memahami persoalan undang- undang dan terma kontrak bukan sahaja penting untuk usahawan atau pengurus, bahkan juga untuk pengguna keseluruhannya.

Terdapat juga kes pengguna tidak memahami entiti perundangan yang terlibat sebagai pihak dalam perjanjian ditandatangani mengakibatkan ia sukar dikuatkuasa. Ia atas alasan ketidakesahan entiti terlibat dalam perjanjian ditandatangani atau entiti tersebut telah pun digulungkan sekiranya melibatkan syarikat.

Perkara ini berlaku kerana kelekaan dan kurangnya kesedaran tentang asas undang-undang kontrak. Banyak kes menunjukkan bagaimana pihak yang kurang berpengetahuan dipermainkan dengan klausa kecil. Ia memberikan kelebihan kepada satu pihak sahaja.

Tanpa pemahaman yang jelas mengenai kontrak, ramai terperangkap apabila ingin menuntut hak di mahkamah. Sebahagian besar kes gugur kerana pihak yang menandatangani sendiri bersetuju dengan syarat yang terkandung dalam dokumen itu. Ini menunjukkan betapa pentingnya masyarakat mempunyai literasi kontrak yang lebih baik.

Dalam konteks undang-undang Malaysia, terdapat beberapa akta penting yang melindungi hak individu dalam kontrak. Antaranya ialah Akta Kontrak 1950, yang menggariskan peraturan asas mengenai pembentukan dan pelaksanaan kontrak.

Selain itu, Akta Perlindungan Pengguna 1999 juga memainkan peranan penting dalam melindungi pengguna daripada perjanjian yang menindas atau mengelirukan. Bagi kes yang melibatkan transaksi perniagaan, Akta Sewa Beli 1967, Akta Jualan Barangan 1957 dan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 turut memberi panduan tentang hak dan tanggungjawab pihak yang terlibat.

Jadi, ambil masa untuk membaca setiap perjanjian sebelum menurunkan tandatangan. Jangan teragak-agak untuk bertanya atau mendapatkan nasihat jika ada bahagian yang sukar difahami.

Jika melibatkan jumlah wang yang besar atau komitmen jangka panjang, dapatkan nasihat peguam sebelum bersetuju. Jika dipaksa untuk segera menandatangani sesuatu dokumen, anggap itu sebagai tanda bahaya dan minta masa untuk mengkaji terma-terma sebelum membuat keputusan.

Pendidikan tentang kontrak bukanlah sesuatu yang eksklusif untuk peguam sahaja. Ia adalah tanggungjawab setiap individu untuk memahami hak dan tanggungjawab mereka sebelum bersetuju dengan sesuatu perjanjian. Ingat, satu tandatangan boleh menentukan masa hadapan and. Pastikan ia bukan satu keputusan yang akan anda sesali seumur hidup!-UTUSAN

MOHD. ASMADI MOHD. ANGSOR & DR. UMI KARTINI RASHID
Sekolah Perniagaan Johor (JBS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Ulasan