Ubah Ayer Kuning: PN teraju Kerajaan Perak, Pusat PRU16


Ubah Ayer Kuning: PN teraju Kerajaan Perak, Pusat PRU16
April 24, 2025


TAPAH: Calon PN, Ustaz Abdul Muhaimin Malek menyeru pengundi untuk menjadikan DUN Ayer Kuning sebagai kerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) yang ke-27 di Dewan Negeri Perak sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.48 DUN Ayer Kuning, 26 April ini.

Katanya, beliau menawarkan TEKAD untuk warga penduduk untuk menjadikan DUN Ayer Kuning sebagai suara pendesak yang kuat dalam Dewan Negeri Perak apabila kerusi tersebut diisi nanti dengan kemenangan PN.

“Kita akan menjadi kuasa semak imbang yang terkuat dalam Dewan Undangan Negeri. Kita menyaksikan baru-baru ini Persidangan Dewan Negeri bagaimana pihak kerajaan tercungap-cungap untuk menjawab.

“(Terhadap) permasalahan-permasalahan yang dibangkitkan oleh ADUN-ADUN pembangkang. Dan saya kira kalau kita tambah satu lagi (kerusi), mereka akan jawab dalam keadaan duduk tidak lagi berdiri,” ujarnya.

Ustaz Muhaimin selaku juga Yang Dipertua PAS Kawasan Tapah, berucap demikian di pentas ceramah Grand Finale PN PRK DUN N.48 Ayer Kuning yang diadakan di Taman Golf, Bidor, di sini sebentar tadi.

Jelas beliau, sebagai suara pendesak dan dengan tawaran TEKAD darinya yang telah dibentangkan kepada umum beberapa hari lalu, insyaAllah dinyatakan kesediaannya menjadi pemudah cara kepada seluruh penduduk Ayer Kuning.

“Segala permasalahan yang boleh kita selesaikan melalui agensi-agensi tertentu, kita akan jadi permudah cara, kita akan turun naik pejabat-pejabat, kita akan jumpa Exco, kita akan jumpa pihak-pihak berwajib, untuk kita selesaikan.

“Untuk kita pastikan permasalahan yang dibangkitkan itu selesai dan ini komitmen kita untuk rakyat di Dewan Undangan Negeri Air Kuning ini,” ikrar beliau yang merupakan calon nombor 2 di dalam kertas undi.

Tekad Ustaz Muhaimin juga, beliau akan menjadi pendengar kepada rintihan seluruh rakyat penduduk Ayer Kuning dan menjadi lidah mewakili suara warga termasuk menjadi mata dan telinga seluruh penduduk.

“(Untuk bawa) Ke peringkat yang lebih tinggi agar apa yang kita bangkitkan nanti insya-Allah akan diperhalusi dan diambil tindakan. Semoga hasrat kita kali ini iaitu perubahan yang kita inginkan berlaku di Ayer Kuning,” janji beliau.

Tegas beliau lagi, kemenangan PN di DUN Ayer Kuning juga akan menjadi laluan mudah untuk PN memerintah di negeri Perak dan juga di Kerajaan Pusat pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti. – HARAKAHDAILY 24/4/2025

Ulasan