
Undi anak muda bakal ubah politik Ayer Kuning
April 12, 2025
TAPAH: Majoriti 2,213 undi yang dimenangi Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada pilihan raya lalu sama sekali tidak menjejaskan tekad kemaraan gabungan PERIKATAN NASIONAL (PN).
Calon PN Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 DUN Ayer Kuning, Ustaz Abdul Muhaimin Malek melahirkan keyakinan bahawa gabungan itu mampu membawa perubahan dalam pengundian yang akan diadakan pada 26 April depan.
“Angka (majoriti) ini tidaklah terlalu besar dan tidaklah terlalu kecil. Walau bagaimanapun kita lihat momentum kebangkitan rakyat yang inginkan perubahan pasca PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15). Kita fikir data dan angka ini boleh berubah.
“Silap-silap kita pula menang dengan majoriti 2,000 lebih pada PRK kali ini. Dengan izin Allah, kita boleh menang, insya-Allah. Namun kita pun tidak memandang remeh terhadap angka ini,” katanya ketika ditemui Harakahdaily.
Justeru, beliau berharap para pengundi khususnya golongan muda untuk sama-sama turun mengundi bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PERIKATAN NASIONAL dalam PRK tersebut.
“Pengundi muda, anda adalah ejen perubahan, kalian adalah pemimpin masa hadapan. Kita mengharapkan orang muda yang inginkan perubahan untuk turun mengundi ramai-ramai pada PRK Ayer Kuning ini, undi PERIKATAN NASIONAL.
“Kita banyak lakukan perubahan selepas PRU15 yang lalu. Banyak perubahan sejak tertubuhnya PERIKATAN NASIONAL, banyak perubahan dilakukan anak-anak muda. Kalian adalah ejen perubahan yang sangat efektif dan memberi kesan kepada perubahan negara dan negeri.
“Tanpa rakyat Ayer Kuning yang cintakan dan berpegang kepada prinsip agama, sudah tentulah kita tak dapat kemenangan. Walaupun tiada perubahan kerajaan negeri, kalau kita menang, tetapi kesan kepada kemenangan ini akan menggegarkan kedudukan PH-BN di peringkat negara mahupun peringkat negeri,” ujarnya.
Keputusan PRU15 bagi DUN Ayer Kuning menyaksikan kerusi itu dimenangi calon daripada BN, Allahyarham Ishsam Shahruddin yang memperoleh sebanyak 9,088 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Mej Dr Mohd Nazri Hashim (B) yang mendapat 6,875.
Sementara calon PN, Ustaz Farid memperoleh 6,812 undi dihadapan calon PEJUANG, Maziah Salim yang memperoleh 105 undi dan calon PSM, Bawani KS dengan 586 undi. – HARAKAHDAILY 12/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan