Aku, Anwar dan 901


Assalam'alaikum dan salam perjuangan,

Setelah beberapa hari berfikir, merenung dan mengimbas kembali di saat Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno pada bulan September 1998 dan bakal berhadapan dengan peristiwa yang bakal tercatat dalam sejarah negara pada 9 Jan 2012 ini maka saya luangkan masa untuk mencatatkan sesuatu yang mungkin bakal dibaca oleh sesiapa yang diundang atapun tidak diundang.

'Boss' saya, Ustaz Nasrudin Hassan telah pun mencatatkan di dalam blognya untuk memberikan hujah mengapa beliau akan turun bersama pada 901. Saya petik di dalam blognya :-

" Jika saya turun Himpunan 901 kelak, saya bukan turun untuk Anwar dan kerana Anwar. Tetapi kerana saya mahu membawa mesej kepada kerajaan UMNO dan BN bahawa rakyat menolak cara pemerintahan dan pentadbiran yang merosakan maruah orang sebelum ia dibuktikan bersalah. Menghukumnya sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman ke atasnya. Ini adalah satu kezaliman dan penginayaan. Tidak baik membiarkan pemerintahan begini mengurus negara dan rakyatnya. Kebetulan hari ini insan yang menjadi mangsa hukuman sebelum hukuman mahkamah ini ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jika mangsa itu adalah Datuk Seri Najib Abd Razak sekalipun, kita wajib menentang kezaliman dan penginayaan yang dilakukan."

Itu kata-kata Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia yang sentiasa konsisten sejak dahulu lagi meluahkan apa yang terbuk di dalam minda, terlintas di fikiran, tergerak di dalam hati untuk dicatatkan di dalam blognya, episode perjuangan yang kini telah di'upgrade' kepada http://www.eperjuangan.com/

Ust Tantawi hanya perlu catatkan di dalam blog dan nanti pandai-pandailah wartawan pada setiap pagi untuk 'pick up' catatan beliau sebagai bahan untuk disiarkan di dalam media masing-masing.

Berbalik kepada DSAI, seorang insan yang istimewa sejarah kehidupan dan perjalanan karier yang penuh dengan warna-warna bakal berhadapan dengan satu keputusan penghakiman pada 9 Januari ini sama ada beliau akan didapati bersalah atau tidak oleh hakim.

Jika bersalah maka jawapannya DSAI akan ke dalam penjara dan jika tidak bersalah maka beliau akan bebas.

Saya memilih tajuk 'Aku, Anwar dan 901' sebab saya secara jujurnya sejak DSAI dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia sehinggalah ke hari ini masih belum pernah menghadiri mana-mana perbicaraan, perhimpunan, demonstrasi atau apa-apa acara yang melibatkan isu DSAI. Jika ada pun hanya lah ceramah-ceramah penerangan yang bertali arus pada satu ketika dahulu ketika DSAI mula dipecat dan dipenjarakan.

Walaupun DSAI dipecat sebagai TPM dan isu ini cukup menggegar politik Malaysia dan mencuit hati dan perasaan sebahagian daripada pimpinan dunia namun saya tidak pernah hadir ke mana-mana himpunan yang diadakan di Kuala Lumpur pada sekitar tahun 1998.

Saya juga tidak pernah hadir ke rumah beliau ketika dipecat, saya juga tidak pernah hadir ke mana-mana perbicaraan yang melibatkan beliau dan saya juga tidak pernah menghadiri mana-mana sidang media yang melibatkan kes beliau.

Ketidakhadiran saya ke mana-mana acara di atas bukan disebabkan kerana saya tidak bersimpati kepada beliau namun saya tidak sememangnya tidak pernah berhajat untuk bersama dengan suasana yang diwujudkan untuk membela DSAI.

Bagi saya, cukup sekadar saya membaca melalui internet, bahan cetak dan melihat melalui rakaman video dan VCD bagaimana DSAI diperlakukan sebegitu rupa oleh mantan PM dan kuncu-kuncunya sehinggalah DSAI merengkok dalam penjara.

Satu masa dahulu, saya memang sangat hormat kepada DSAI ketika beliau menjadi Menteri Pelajaran dengan ideanya untuk melaksanakan Bahasa Baku di dalam penggunaan percakapan rasmi dan juga pendekatan-pendekatan lain.

Walaupun beliau adalah 'budak MCKK' dan saya 'Budak STAR' yang menjadi musuh tradisi sepanjang zaman namun ia tidak menyebabkan saya mengetepikan rasa hormat kepada beliau dan bukan juga penyebab kenapa saya tidak hadir ke mana-mana perbicaraan DSAI.

Ketika DSAI dibebaskan pada tahun 2004 sebelum berlakunya PRU, saya juga tidak tergerak hati untuk hadir sama. Apabila DSAI di dakwa dalam tuduhan meliwat juga saya tidak pernah walaupun sekali untuk singah di mahkamah bagi memberi sokongan.

Apa yang saya catatkan di atas sebagai catatan santai untuk menyatakan bahawa saya tidak pernah hadir sebelum ini ke mana-mana acara yang melibatkan kes DSAI.

Mudah-mudahan sejarah yang bakal dicatatkan pada 9 Januari ini akan mencatatkan juga kehadiran saya buat pertama kalinya bersama dengan yang lain.

Terdetik di dalam hati saya bahawa saya perlu hadir pada 901 kerana ia bakal menjadi satu detik yang cukup penting untuk merubah politik Malaysia pada Pilihanraya Umum yang akan datang.

KITA JUMPA NANTI DI SANA!

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia
Yang Di Pertua PAS Kawasan Kluang
7 Januari 2012

Ulasan