Kes Rogol dan Bunuh Semakin Parah : Terbaru Nurul Aien

Salam perjuangan,

Sedih mengenangkan semakin parah keadaan sosial di negara kita sekarang ini. Nilai nyawa sudah seperti tiada lagi dalam sebahagian daripada rakyat yang telah dikuasai nafsu serakah.

Terbaru, berita seorang anak gadis berusia 16 tahun dirogol dan dibunuh di dalam rumahnya sendiri cukup memeritkan hati.

Ke mana perginya iman dalam diri sehingga tergamak untuk membunuh mangsa setelah puas merogol?

Ya Allah, selamatkanlah kami...

---------------------------------------------------

TAIPING: Seorang ibu tunggal tidak menyangka anak perempuannya berusia 16 tahun yang ditinggalkan berseorangan dibunuh kejam suspek yang dipercayai cuba merogol dan mencabulnya di rumah mereka di Batu 9, Jalan Trong, Changkat Jering, di sini, kira-kira 4.30 petang kelmarin.

Nonri Musa, 40, yang ketika kejadian menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Wan Ahmad Rasdi, hampir pengsan melihat mayat anak ketiganya, Nurul Aien Mohd Saimon, 16, yang separuh badan termasuk kepala terendam dalam kolah yang dipenuhi air, manakala kakinya terjuntai keluar.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, Nurul Aien yang juga pelajar SMK Datuk Wan Ahmad Rasdi itu turut cedera di kepala akibat hentakan objek keras.“Ketika bermesyuarat, saya dihubungi ahli keluarga memaklumkan anak saya mati dipercayai dibunuh. 

“Saya bergegas pulang ke rumah dan melihat keadaan anak yang sudah kaku. Saya tidak menyangka ada insan tidak berperikemanusiaan sanggup berbuat demikian,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.Beliau berkata, beberapa hari sebelum kejadian, dia ada melihat kelibat dua lelaki di belakang rumahnya dan apabila cuba disapa, mereka melarikan diri.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa perkara buruk dan tidak melaporkannya kepada polis sehinggalah semalam (kelmarin) anak saya ditemui mati,” katanya.

Jiran mangsa, Abd Halim Abd Majid, 45, yang tinggal kira-kira 50 meter dari rumah mangsa berkata, anaknya Afnan, 16, rakan karib mangsa terdengar jeritan dari arah rumah mangsa, sekitar jam 3.30 petang tetapi tidak menghiraukannya kerana menyangka keluarga jirannya hanya bergaduh sesama ahli keluarga.

“Tidak lama kemudian, ada saksi memaklumkan melihat seorang lelaki keluar dari rumah mangsa dan meredah kawasan semak di belakang rumah sebelum menyeberang Sungai Limau berdekatan rumah mangsa.

“Bagaimanapun, kami tidak menghiraukan kejadian itu sehingga dimaklumkan mengenai penemuan mayat mangsa dalam bilik air Nonri, jam 4.30 petang,” katanya.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah, berkata siasatan awal mendapati kes berkenaan tiada kaitan dengan rompakan berikutan tiada kesan pecah masuk selain tiada kehilangan barang berharga dan kesan bilik digeledah.

“Kami mengesyaki suspek cuba merogol dan mencabul sebelum membunuh mangsa dengan melemaskannya dalam kolah di bilik air rumah berkenaan. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan.

“Susulan siasatan itu, seorang lelaki berusia 18 tahun iaitu penduduk tempatan turut ditahan di kediamannya yang tidak jauh dari lokasi kejadian awal pagi tadi (semalam) bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, malam kelmarin untuk bedah siasat, sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 9, di sini, pagi semalam. -BH

Ulasan