Sambutan Maulidrasul : Apa Yang Kita Dapat?

Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Saya sengaja memilih tajuk seperti ini kerana saya percaya ramai menyambutnya setiap tahun tapi apa yang sebenarnya yang kita perolehi daripada peristiwa kelahiran Rasulullah? Masjid dan surau sudah jatuh hukumnya menjadi program yang wajib dilaksanakan, jika tidak komuniti masyarakat akan riuh sekampung.

Agenda sambutan maulid nabi biasanya akan disabut dengan perarakan, ceramah, persembahan dan jamuan makan. Tiada jamuan makan pun akan dilihat sebagai satu kejanggalan. Nasi beriani, nasi ayam dan nasi minyak adalah di antara makanan utama dengan berlaukkan daging ayam,lembu ataupun kambing. Untuk membincangkan tentang makan, jawatankuasa pengajur sanggup mengambil masa yang lama asalkan ia tidak akan mendukacitakan tetamu yang hadir. Hati akan rasa puas bila ada cakap-cakap yang kata masakan sedap enak dan bagus maka penganjur akan rasa cukup gembira kerana tetamu berpuashati dengan jamuan yang disediakan.

Bila 'post-mortem' dibuat, pengerusi mesyuarat akan mendapatkan pandangan ahli jawatankuasa sama ada ada atau tidak komplen tentang masakan jika tidak ada maka tukang masak ada harapan untuk dikekalkan pada tahun hadapan.

Iniah senario yang biasa berlaku dalam pengajuran sambutan maulidur rasul di negara kita. Soal makan biasa mendapat tempat utama berbanding dengan soal kandungan ceramah yang ingin disampaikan, dalam erti kata lain makanan untuk rohani tidak begitu difokuskan berbanding dengan makanan jasmani. Amat jarang penganjur memberikan tumpuan kepada isi kandung ceramah yang bakal disampaikan. Contohnya, penganjur melihat bahawa semangat untuk berkorban dalam qariah cukup rendah maka penceramah diminta untuk memberikan ulasan berkaitan dengan pengorbanan yang telah dilakukan oleh Rasulullah. Tapi biasanya penceramah dibiarkan sahaja bercakap apa saja asalkan ia ada kaitan dengan mauidur rasul.

Apa yang ditulis ini adalah berdasarkan kepada pengalaman sendiri dan pengalaman orang lain. Mudah-mudahan sambutan maulidrasul yang kita akan sambut pada esok hari akan merubah diri kita untuk lebih dekat kepada Allah dan RasulNya, mendokong dan menyokong perjuangan Islam bukannya menjadi penentang.

Selamat menyambut Maulidur Rasul kepada semua umat Islam.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
4 Februari 2012
Putatan, Sabah.
Wassalam.

Ulasan