Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,
Saya tertarik dengan berita terbaru yang melibatkan seorang pelakon wanita di Malaysia yang diberitakan bahawa telah pun melakukan penghijrahan dengan mengenakan tudung selepas menyambut ulang tahunnya yang ke 30, pada 9 Jun lalu.
Walaupun saya mengakui tidak mengenali pelakon ini dan tidak pula menyedari filem atau drama yang dilakonkannya namun sekalung ucapan tahniah saya ucapkan kepadanya di atas kesedaran yang telah Allah berikan kepadanya.
Mudah-mudahan ia adalah permulaan yang indah kepada beliau dalam meneruskan kehidupan selepas daripada ini.
Apapun, perkembangan dunia artis wanita yang bertudung sudah semakin meluas dan tidak dilihat luar biasa apabila semakin ramai yang membuat penghijrahan.Nasihat saya, biarlah perubahan ini dibuat mengikut syariat Islam dan bukannya kerana mengikut trend semasa.
Wassalam
Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur
13 jun 2012, 12.58 pagi
---------------------------------------------------
Rabu Jun 13, 2012
Fazurina Tidak Dipaksa Untuk Bertudung- mStar Online
PETALING JAYA: Pelakon yang pernah popular menerusi siri Dunia Anita dan Trilogi Cinta iaitu Fazurina mengambil keputusan untuk mengenakan hijab selepas menyambut ulang tahunnya yang ke 30, pada 9 Jun lalu.
Fazurina berkata, keputusan itu tidak dipaksa oleh sesiapa sebaliknya
ia datang ikhlas daripada hatinya sendiri dan telah lama berniat untuk
berbuat demikian.
"Saya tiada apa-apa alasan kenapa saya mengambil keputusan untuk
bertudung tetapi ia datang daripada hati saya sendiri selepas menyambut
hari lahir yang ke 30 pada 9 Jun lalu.
"Insya-Allah, imej ini akan kekal selamanya kerana ia adalah satu perkara yang dituntut oleh agama," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Fazurina berkata, walaupun sedar tawaran berlakon
akan berkurangan selepas ini, dia tetap optimis dan menganggap setiap
rezeki itu datang daripada Allah.
Fazurina berkata, sebagai seorang Islam dia percaya dengan qada dan
qadar dan menganggap jika perkara itu terjadi pasti mempunyai hikmah di
sebaliknya.
"Kalau saya tidak bertudung pun kalau kata rezeki itu bukan milik saya tetap tidak akan menjadi hak saya.
"Saya reda dengan semua ketentuan tetapi itu bukan alasan untuk saya
tidak berbuat-buat apa mengenainya. Apa yang penting usaha," katanya.
Tambah Fazurina, dia ada mendapat tawaran berlakon dari sebuah
produksi sebagai watak utama untuk siaran TV3 baru-baru ini namun
terpaksa menolak kerana pengarah mahu dia membuka tudung.
"Saya boleh terima kerana ia watak utama dan akan ditayangkan di TV3
tetapi terpaksa menolak kerana saya mengenakan hijab bukan suka-suka.
Tidak mengapa kerana ia bukan rezeki saya buat masa ini," katanya.
Dalam perkembangan lain, dia sangat teruja apabila bakal muncul
dengan projek pertama di bawah syarikat produksi miliknya iaitu Tripix
Studios Sdn Bhd yang telah beroperasi sejak beberapa bulan yang lalu.
Fazurina berkata, jika segalanya berjalan lancar, syarikat
produksinya akan memulakan penggambaran drama bersiri 13 episod berjudul
Hana yang akan diarahkan oleh Zulkifli M. Osman.
"Alhamdulillah, setelah beberapa tahun berlakon ini adalah perkara
paling terbesar yang bakal saya lakukan. Insya-Allah, harap-harap
semuanya akan berjalan dengan lancar," ujarnya.
Fazurina juga turut membawa peranan utama dalam drama bersiri itu selain bertindak sebagai penerbit.
Bercakap lanjut mengenai kerjaya seninya, Fazurina baru sahaja selesai menjalani penggambaran musim terbaru drama Trilogi Cinta untuk RTM sebanyak 40 episod yang akan ditayangkan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.
Selain itu, filem Baik Giler gandingannya bersama Zizan Razak dan Awie bakal menjengah pawagam pada 28 Jun manakala filem Hantu Bukit Cina bakal ditayangkan pada akhir tahun ini.
Ulasan
Catat Ulasan