BAHAGIAN KE 5 : MENANGANI KONFLIK DAN KRISIS DALAM BERORGANISASI




BAHAGIAN KELIMA : MENANGANI KONFLIK DAN KRISIS DALAM BERORGANISASI

Assalamu’alaikum dan salam perjuangan,

Apabila kita berorganisasi maka perkara yang tidak dapat kita elakkan adalah berhadapan dengan konflik yang mana kadang-kadang konflik ini membawa kepada krisis dalaman sehingga akhirnya mewujudkan ‘perang saudara’ yang tercetus apabila sesuatu konflik itu tidak dapat ditangani dengan sebaiknya.

Janggal juga jika ada yang mengakui bahawa organisasi yang dipimpinnya tidak mengalami sebarang konflik, sentiasa tenang dan harmoni. Andai ada mana-mana organisasi yang menyatakan seperti itu maka dapat diandaikan bahawa tiada progres dalam menjalankan aktiviti ataupun ia sememangnya selesa dengan pencapaiannya.

Biasanya apabila kita mendapat tahu berlakunya konflik dalam organisasi, bayangan awal yang terlintas di minda adalah seakan satu pertembungan yang bakal meruntuhkan organisasi yang sedang dipimpin. Terbayang juga pertembungan dua atau lebih kumpulan yang ingin merebut tahta kepimpinan dan kekuasaan. Namun ia tidaklah seperti mana yang sering dibayangkan kerana konflik dalam organisasi jika diuruskan dengan baik akan mendatangkan kebaikan.

Kerana itu, penggerak organisasi wajar untuk memahami apa makna sebenarnya konflik dan krisis serta perlu mengambil tahu bagaimana untuk mengatasinya.

Perbezaan Konflik dan Krisis

Perlu memahami terlebih dahulu bahawa konflik dan krisis adalah dua situasi yang berbeza. Ia tidak akan berlaku serentak kerana krisis terjadi selepas sesuatu konflik itu tidak dapat diselesaikan. Ada juga keadaan tertentu, krisis meletus secara tiba-tiba tanpa dijangka namun ia tidak akan berlaku serentak dengan konflik.

Dalam ilmu Pengurusan, konflik ditakrifkan sebagai ketidak setujuan (disagreement) di antara dua pihak atau kumpulan mengenai sesuatu perkara yang mempunyai kepentingan bersama di kedua-dua belah pihak (issue of mutual interest). Konflik juga adalah sesuatu yang normal dan sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam kehidupan (inescapable part of life).

Manakala, krisis ditakrifkan sebagai keadaan tegang dalam organisasi, pertubuhan atau pihak yang membawa kepada keadaan genting kerana kekurangan sesuatu yang akhirnya menyebabkan persengketaan pendapat atau prinsip dalam pengurusan organisasi.

Takrifan ringkas ini menunjukkan bahawa konflik adalah sesuatu yang normal berlaku di dalam organisasi dan ianya mampu untuk diatasi melalui kebiaksanaan pengurusan yang mengendalikannya. Ia adalah sesuatu fitrah di dalam kehidupan manusia.

Kerana itu, setiap organisasi mestilah memberikan perhatian agar tidak berlaku konflik yang tidak dapat diselesaikan kerana ia akan membawa kepada krisis yang lebih memburukkan keadaan.

Kenapa berlakunya Konflik dalam berorganisasi?

PAS telah melalui proses pengembangan dengan pesat khususnya selepas berlakunya reformasi tahun 1998 sehingga telah mempunyai hampir sejuta keahliannya maka sudah pasti berhadapan dengan pelbagai konflik yang mendatang sama ada di peringkat Pusat sehinggalah ke peringkat PAS cawangan. Ia ditambah lagi dengan keanggotaan ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang telah melebihi dua puluh ribu keanggotaannya. Kepelbagaian latar belakang akademi, pekerjaan, budaya malah persekitaran memungkinkan berlakunya konflik dalam organisasi sehingga ia akan membawa kepada perpecahan sekiranya konflik yang berlaku tidak diberikan perhatian dan ditangani dengan sebaiknya.

Sesetengah daripada kita beranggapan bahawa individu lain akan sama dengan kita. Cara mereka berfikir dan cara mereka bertindak akan sama dengan cara kita, itu andaian kita. Namun sebenarnya, itulah di antara punca yang memutikkan konflik dalam organisasi.

Sebagai contohnya, sebuah PAS cawangan menitikberatkan tentang program mendekati rakyat dengan aktiviti kebajikan dan ianya dilihat sangat sesuai dengan seluruh cawangan tersebut namun ia tidak bermakna kesemua ahli PAS di cawangan tersebut cenderong untuk melaksanakan pendekatan yang sama. Mungkin ada di antara ahli cawangan yang lebih cenderong dengan pendekatan penerangan atau pun aktiviti kemasyarakatan.

Ramai yang terlibat dalam konflik merasa betul tetapi mereka tidak mengetahui bahawa sikap konflik hanya melayan ego dan memuaskan keinginan sendiri semata-mata. Bagi individu yang bersikap optimis dalam berkonflik ada juga merasakan kekalahan berkonflik membawa keuntungan kerana berani menghadapi segala cabaran dan dugaan dalam perjalanan proses menyelesaikan masalah.

Oleh itu, dapat dikatakan di sini bahawa konflik dalam organisasi akan tercetus daripada sikap tidak mahu memahami dan tiada sikap bertolak ansur yang berpunca daripada kematangan emosi yang rendah.

Apabila sesuatu konflik itu tidak disegerakan penyelesaiannya maka konflik akan berpanjangan dan memberikan kesan negatif terhadap pelbagai perkara termasuklah perhubungan di antara sesama ahli jawatan kuasa, program akan kurang berkesan, pertumbuhan organisasi akan perlahan malah boleh membawa kepada kemusnahan organisasi jika ia tidak dibendung.

Krisis Membawa Kepada Perpecahan Organisasi

Krisis adalah satu masalah besar yang muncul secara tiba-tiba dan sekiranya konflik yang berlaku tidak dapat ditangani dengan sebaiknya. Manakala krisis yang tidak ditangani pula akan memberi kesan terhadap kesahihan organisasi, boleh mengubah misi strategik organisasi dan menjejaskan persepsi atau pandangan orang ramai terhadap prestasi organisasi. Di dalam sains politik, krisis yang tidak menemui jalan penyelesaian akan membawa kepada peperangan.

Seorang sarjana dalam bidang teori komunikasi dan pengurusan, Dr Otto Lerbinger memberikan takrifan bahawa krisis adalah sebagai kejadian yang membawa, atau berpotensi menjejaskan reputasi organisasi serta mengancam keuntungan, perkembangan dan kewujudan organisasi. Manakala Steven Fink menyatakan bahawa krisis adalah keadaan atau masa yang tidak stabil di mana keputusan untuk berubah amat diperlukan sama ada memberi hasil yang positif yang diharapkan atau memberi kesan negatif kepada organisasi.

Bagi menangani krisis dengan berkesan, penggerak organisasi mestilah didedahkan dengan ilmu pengurusan krisis (Crisis Management). Pengurusan krisis adalah merupakan satu kaedah yang sistematik dan tersusun untuk mengenalpasti dan menangani kejadian kecemasan yang berlaku atau mungkin akan berlaku dalam sesuatu krisis. Pengurusan krisis yang cekap dan berwibawa mampu untuk mengurangkan kerosakan pada imej organisasi dan mampu memulihkan keadaan balik ke asal dalam tempoh masa yang singkat.

Konflik Yang Positif

Walaupun takrifan terhadap konflik memberi makna yang negatif, namun begitu terdapat juga konflik yang membawa nilai positif iaitu konflik yang menyokong matlamat organisasi dan memperbaiki tahap pencapaian organisasi. Ia menjadi sumber perubahan yang progresif kepada organisasi.

Seorang pakar pengurusan, Alan C. Filley melalui bukunya Interpersonal Conflict Resolution telah menggariskan bahawa sekiranya berlakunya konflik maka ia akan memberikan beberapa kesan positif iaitu :-

i. Mengurangkan terjadinya konflik yang lebih serius

ii. Menggalakkan pencarian kepada fakta-fakta baru atau jalan penyelesaian

iii. Meningkatkan kerjasama bersepadu dalam kumpulan

iv. Menilai kuasa atau keupayaan individu atau kumpulan

Kesimpulan

Setiap organisasi tidak dapat untuk mengelakkan daripada menghadapi konflik dalam urusan seharian sama ada ia besar atau pun kecil. Konflik adalah lumrah kepada sesebuah organisasi namun kelekaan menanganinya akan membawa padah kepada keseluruhan organisasi. Justeru dicadangkan agar setiap organisasi PAS mengambil sikap :-

1. Terbuka dengan apa yang berlaku kerana kita sebenarnya membuka ruang kepada penyelesaian yang lebih baik dan memuaskan kedua belah pihak berselisih. Keterbukaan sikap membantu untuk meredakan ketegangan dan membantu untuk mempositifkan sesuatu konflik.

2. Bersikap bertolak ansur dalam percanggahan idea dan pandangan kerana ia adalah pilihan yang terbaik apabila proses menyelesaikan konflik itu berada dalam keadaan statik. Namun ada juga perkara yang perlu kita bertolak ansur tetapi ada juga yang kita tidak perlu berbuat demikian, bergantung kepada konflik yang berlaku. Unsur tolak ansur merupakan prinsip utama yang diguna pakai untuk mendukung hak-hak kemanusiaan.

3. Individu yang terlibat dalam organisasi perlu perbanyak bersabar dalam setiap tindakan. Islam mengajar kita supaya banyak bersabar di dalam semua keadaan kerana ia adalah pengukur darjat keimanan seseorang.

4. Penggerak organisasi perlu didedahkan dengan strategi menangani konflik dan krisis. Mereka perlu tahu bagaimana dan cara mana yang perlu dilakukan apabila sesuatu konflik dan krisis berlaku. Jika tidak maka konflik yang melanda organisasi walaupun kecil namun ia akan cepat merebak dan merosakkan sehingga menimbulkan krisis yang lebih sukar untuk diatasi.

Sekian, wassalam.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Penolong Setiausaha Agung PAS,
Sektor Pemerkasaan Organisasi

Ulasan