BAHAGIAN KE 4 : MENGEMBALIKAN KEGEMILANGAN SISTEM PENGURUSAN ISLAM



BAHAGIAN KEEMPAT    :   MENGEMBALIKAN KEGEMILANGAN SISTEM PENGURUSAN ISLAM

Pada bahagian yang lalu, saya telah menyentuh tentang Teori Pengurusan Barat atau pun lebih mudah dipanggil dengan istilah Teori Pengurusan Moden dan saya telah mencatatkan pelbagai teori yang diaplikasikan dalam pengurusan masa kini. Bukan bermakna ia menggambarkan Teori Pengurusan itu lebih baik daripada sistem pengurusan yang lain-lain termasuklah Pengurusan Islam namun kita perlu melihat pelbagai teori pengurusan yang telah diwujudkan di dalam kehidupan kita.

Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, pada bahagian keempat ini saya akan menulis berkaitan dengan Sistem Pengurusan Islam. Sistem Pengurusan Islam (SPI) ketika jika hendak dibandingkan dengan Sistem Pengurusan Konvensional (SPK) seperti Barat mahupun Sistem Pengurusan Jepun amat jauh berbeza dari banyak aspek terutama dalam aspek teori dan amalannya.

Keunikan Sistem Pengurusan Islam.

Wajar dinyatakan bahawa uniknya SPI adalah kerana ia meletakkan Tauhid sebagai asas. SPI jika hendak dibandingkan dengan sistem-sistem pengurusan yang lain nyata sekali jauh lebih sempurna kerana ianya bersifat lengkap dan melengkapi (syumul) yang melibatkan aspek jasmani, rohani, dan akal.

Ia sangat berbeza dengan SPK yang lebih menekankan aspek pengurusan yang berteraskan kepada material semata-mata dengan tidak meletakkan aspek agama, etika dan nilai, serta pembangunan insan dalam perlaksanaannya.

Namun, ia amat jarang diaplikasikan di dalam pengurusan massa dan saya fikir tidak salah jika dinyatakan di sini bahawa ia tidak begitu diserapkan dengan sebaiknya di dalam pentadbiran PAS. Adakah kerana ia tidak diyakini atau ianya tidak praktikal pada ketika ini?


SPI telah lama wujud iaitu pada zaman Rasulullah lagi yang berkembang seiring perkembangan Islam pada zaman itu. Ia sudah tentu jauh lebih awal daripada SPK yang hanya wujud ketika zaman Revolusi Industri. Ia dibangunkan berpandukan Al-Quran dan mengalami beberapa reformasi yang bersesuaian dengan suasana, zaman dan tempat seperti pada zaman pemerintahan Khulafa’ ar-Rasyidin sehinggalah ia mencapai kegemilangannya pada zaman Khalifah Uthmaniah. SPI akhirnya sudah tidak lagi menjadi rujukan lebih-lebih lagi ianya dihapuskan oleh barat.

Sumber Rujukan Pengurusan Islam

Sumber utama Pengurusan Islam adalah Al-Quran.  Ia menjadi sumber rujukan yang paling penting dan utama di atas pelbagai faktor yang membuktikan bahawa ia adalah kitab Allah yang mengandungi ajaran yang syumul untuk kemashlahatan seluruh umat manusia. Al-Quran mengandungi pelbagai ayat dan peraturan yang berkaitan dengan tatacara kehidupan bermasyarakat yang mencakupi pelbagai bidang seperti ekonomi, politik, sosial dan pendidikan termasuklah pengurusan.

Sumber utama yang kedua ialah Sunnah Rasulullah S.A.W. ataupun ia dikenali sebagai Hadith. Rasullah adalah model akhlak umat Islam malah masyarakat seluruh dunia dengan kemampuan baginda melaksanakan tugas sebagai pentadbir, pemimpin dan ahli strategis yang cukup unggul.

Sumber kedua Pengurusan Islam adalah daripada para sahabat Rasulullah yang berempat iaitu Khulafa Ar-Rasyidin yang memimpin kerajaan Islam setelah kewafatan Rasulullah.  Mereka ialah Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, Ali bin Abi Talib dan Uthman bin Affan.  Sepanjang pemerintahan mereka selama 29 tahun telah banyak membuat perubahan serta kemajuan kepada wilayah-wilayah Islam dibawah kerajaan Islam. 

Kemampuan mengendalikan sistem pengurusan yang cekap dan teratur telah membantu kerajaan ditadbir dengan cekap dan sistematik. Khulafa ar-Rasyidin yang pertama ialah Saidina Abu Bakar As-Siddiq yang memerintah selama 2 tahun.  Saidina Abu Bakar telah menunjukkan pengurusan yang cekap dalam mengendalikan pengiriman tentera ke Qudha‘ah dan Abna di Syria serta mempertahankan Madinah daripada ancaman Parsi dan Rom Timur selain jasanya menghapuskan gerakan nabi-nabi palsu. 

Khalifah yang kedua ialah Saidina Umar Al-Khattab merupakan yang paling terserlah dan terkenal dan pentadbirannya telah dianggap mendahului zamannya. Contohnya, melakukan polisi baru untuk golongan Dzimmi iaitu dengan mengadakan cukai tanah dan jizyah.  Dengan itu, taraf dan hak awam diberikan sama rata.

Seterusnya ialah Saidina Uthman bin Affan.  Ciri-ciri pimpinan beliau ialah dengan banyak melakukan perluasan kuasa dan berjaya menakluki Cyprus, Afghanistan, Samarqand, Libya, Algeria, Tunisia, Morocco dan beberapa buah negara lagi. 

Ketandusan Pemikir dan Pakar Pengurusan Islam.

Dunia Pengurusan Islam masakini ketandusan pakar pengurusan dan pemikir Islam. Bukan tidak ada tetapi ia sangat kurang untuk dijadikan pakar rujuk oleh generasi muda Islam termasuklah di Malaysia. Kita masih lagi bergantung kepada kitab-kitab lama yang diulang cetak.

Kita masih lagi bergantung kepada falsafah pemikiran klasikal yang lama dan ianya sangat kurang dikembangkan ke era masakini. Tidak dinafikan bahawa Ibnu Khaldun terkenal dengan kitabnya Muqaddimah yang menjelaskan perihal mendalam tentang falsafah sejarah, sains sosial dalam sosiologi, demografi dan ekonomi, Abu Yusuf dengan Kitab Al-Kharaj yang membincangkan tentang ekonomi Islam dan Al-Marwardi dengan Kitab Al-Ahkam As-Sultaniyyah yang menjelaskan tentang proses kerja kerajaan Islam dan teori keberkesanan sistem pengurusan kerajaan Islam. 

Era kini, nama besar seperti Dr Muhammad Al-Buraey yang sangat mahir dalam bidang pengurusan. Beliau adalah merupakan mantan Pengarah Institut Penyelidikan Ekonomi dan Pengurusan di Universiti King Fadh, Arab Saudi. Menerima Ijazah Kedoktoran dalam bidang Pentadbiran Awam/Pengurusan pada tahun 1981 daripada Universiti Carolina Selatan, Amerika.

Dr Hisham Yahya Al-Talib, pengarang kitab Dalil Al-Tadrib Al-Qiyadi atau Training Guide For Islamic Workers (Manual Latihan Kepimpinan) berasal daripada Iraq yang diterjemahkan lebih daripada 17 bahasa di dunia. Seorang lagi, Dr Jamal Mahdi, pengarang kitab Al-Qiyadah Al-Ma’athurat (Kepimpinan Efektif) yang berasal daripada Mesir.

Kekurangan pakar dalam bidang pengurusan Islam masa kini menyebabkan SPI tidak dapat diperkembangkan khususnya dalam organisasi yang berasaskan Islam. Persoalannya, mengapakah kita perlu mengambil perhatian akan cara pengurusan para ilmuan pemikir Islam? Jawapannya, kerana sudut pandangan mereka dari semua segi telah mereka titikberatkan dalam semua aspek pengurusan.  Mereka telah jauh memandang dan mendalami pengalaman semasa pemerintahan besar kerajaan Islam.

Tindakan Yang Perlu Dilakukan

Saya melihat bahawa terdapat beberapa perkara yang perlu dilaksanakan pada masa kini untuk mengembalikan semula kegemilangan SPI khususnya di dalam PAS dan umumnya untuk semua masyarakat di Malaysia.

1.    Mengembalikan semula kegemilangan SPI dengan menganjurkan seminar, kolukium dan apa jua yang bersamaan dengannya untuk membangkitkan semula kesedaran umat Islam terhadap SPI yang pada satu masa dahulu adalah satu sistem pengurusan yang sangat baik dan praktikal. Wajar bagi Sekretariat dan Lajnah Pemerkasaan PAS Pusat untuk memberikan perhatian kepada perkara ini. Saya percaya ia akan dapat dibantu oleh pakar-pakar pengurusan yang terdapat dalam Pusat Pengajian Tinggi Tempatan pada masa kini.

2.    Melahirkan golongan pemikir muda yang cenderung kepada pengurusan Islam perlu dilaksanakan. Kecenderungan untuk melahirkan pemikir muda dalam bidang politik, tarbiyah dan dakwah tidak dapat dinafikan ianya terus berlaku namun tidak seserius untuk melahirkan golongan pengurusan dalam PAS. Allahyarham Ustaz Hassan Syukri adalah Tokoh Pengurusan Pas namun ketokohannya tidak dapat disemai dengan baik ke dalam kepimpinan muda masa kini dengan sebaiknya.

3.    Menterjemahkan buku atau kitab berkaitan dengan SPI ke dalam Bahasa Malaysia. Seperti mana yang telah saya nyatakan tadi, kitab Dalil Al-Tadrib Al-Qiyadi atau Training Guide For Islamic Workers yang dikarang oleh Dr Hisham Yahya Al-Talib telah diterjemahkan lebih daripada 17 bahasa di dunia tidak termasuk Bahasa Malaysia. Kerjasama melalui Pusat Penyelidikan PAS (PPP) dan Institut Latihan Kepimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyah (ILHAM) yang mempunyai ramai tenaga pakar untuk merealisasikan cadangan ini.

Membangkitkan semula kegemilangan SPI bukan bererti kita menolak kemampuan SPK yang digunakan pakai dalam sistem pengurusan masa kini. SPI terbukti mempunyai kemampuan untuk meletakkan suatu sistem pengurusan yang adil, cekap dan beretika kerana ia meletakkan Tauhid kepada Allah sebagai asas penting. Manakala SPK dapat digabung jalin sebagai teknik dan strategi untuk memperkemaskan lagi sistem pengurusan kita.

Sekian, wassalam.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Penolong Setiausaha Agung PAS,
Sektor Pemerkasaan Organisasi.

Ulasan