TULIS TENTANG SAYA SELEPAS SAYA MATI - PAK DAENG


Catatan Hujung Ramadhan - 2
"TULIS TENTANG SAYA SELEPAS SAYA MATI - PAK DAENG"
Kelmarin, saya ditakdirkan dapat bertemu dengan seorang tokoh pejuang dalam PAS. Dr Sanusi Daeng Mariok atau lebih mesra dipanggil Pak Daeng adalah merupakan mantan Pesuruh Jaya PAS negeri Johor dan mantan Naib Presiden PAS Pusat.
Pak Daeng yang menetap di Sungai Merab, Bangi hadir ke program PIHAK 2.0 di Air Hitam. Kehadirannya bukanlah sebagai penceramah ataupun pengisi kuliah tetapi sebagai tetamu & orang lama PAS Johor.
Sudah tentu saya gembira dengan kehadiran Pak Daeng. Tangan Pak Daeng disambut dan susuk tubuhnya dipeluk tanda rindu dan kasih sayang kepada seorang murabbi yang kental jiwanya, kuat semangatnya dalam mengharungi pejuangan yang berliku.
Pada pagi Ramadhan ke 26 ini, saya kongsikan satu perkara yang belum pernah dicatatkan di mana-mana laman sebelum ini.
Beberapa tahun yang lalu saya membuat keputusan untuk menyambung pengajian di peringkat Master dan saya bercadang untuk menulis tentang sejarah perjuangan Pak Daeng khususnya dalam menerajui kepimpinan PAS.
Saya fikir wajar untuk dikongsikan tentang sejarah perjuangan beliau, saya ingin mencatitkan mehnah & tribulasi yang beliau hadapi serta latar belakang dirinya. Dalam fikiran saya tentulah Pak Daeng akan menyambutnya dengan hati yang terbuka kerana setakat ini belum pernah saya membaca mana-mana tesis yang menulis tentang dirinya.
Namun andaian saya meleset, saya agak hampa apabila tidak menyangka Pak Daeng menolak hasrat saya itu. Pak Daeng menjelaskan bahawa memang ada pihak yang bertemu dengannya dengan hasrat sama seperti saya tetapi Pak Daeng terpaksa menolak kerana punya alasan yang tersendiri.
"Ya akhie, jika anta ingin menulis tentang ana, tunggulah ana mati dahulu" lebih kurang begitulah kata Pak Daeng.
Pak Daeng jelaskan bahawa apa jua boleh berlaku ketika seseorang itu masih hidup. Mungkin puluhan tahun seseorang itu berjuang dan berjasa kepada jamaah namun belum tentu di akhir hidupnya akan terus kekal bersama PAS. Benar, sejarah telah membuktikan bahawa ianya pernah berlaku dan tidak mustahil ia akan berlaku lagi.
Mudah-mudahan dalam sejarah yang bakal ditulis, nama kita tidak akan dibaca oleh generasi masa hadapan sebagai mereka yang tercicir daripada perjuangan.
Wassalam.
Khairul Faizi Ahmad Kamil
26 Ramadhan 1436

Ulasan