BEKAS SETIAUSAHA POLITIK MAT SABU DI DAKWA RASUAH : APA PENGAJARANNYA?



Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Secara rasminya bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam atas lima tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM6.3 juta.

Sdr Azhar Che Mat Dali yang saya telah kenal ketika beliau berada di dalam PAS mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan. 

Tuduhan terhadap sdr Azhar adalah seperti berikut ; 

i. Melakukan kesalahan itu di Hotel Le Apple Boutique, Jalan Ampang, Kampung Baru, pada 22 Julai 2019 dan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.

ii. Bagi pertuduhan kedua hingga kelima, Mohd Azhar didakwa menerima RM1.35 juta daripada Elias melalui Pengarah Syarikat Ikaira Resources, Zainudin Abdul Majid dan Pengarah Syarikat Aqsa Solutions Sdn Bhd, Ahmad Hisham Mohd Tajuddin bagi tujuan sama.

iii. Dia dituduh melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Pertahanan di Jalan Bellamy dan beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya antara September 2019 dan Februari 2020 dan didakwa mengikut seksyen sama.

Kita perlu berlaku adil terhadap beliau yang baru dikenakan tuduhan dan masih belum terbukti bersalah. Dalam undang-undang, seseorang itu tidak bersalah sehingga dia dibuktikan bersalah  (innocent until proven guilty) oleh pihak mahkamah.

Tidak wajar kita untuk melemparkan atau mengelar seseorang dengan pelbagai jenis gelaran jenayah selagi seseorang itu belum dibuktikan bersalah oleh pihak mahkamah di akhir proses perbicaraan.

Namun apa yang saya cuba nukilkan di sini adalah ; apa pengajaran yang boleh kita ambil daripada peristiwa ini.

Pertamanya adalah JAWATAN ITU ADALAH SATU AMANAH dan bukan tiket untuk kita berbuat apa sahaja yang kita suka lebih-lebih lagi jawatan yang mempunyai ruang besar untuk mendapatkan habuan dunia. 

Dalam kes ini, Setiausaha Politik kepada Menteri adalah jawatan yang akan diperhati dan dikerumuni oleh pihak lain yang mahukan hasrat mereka tercapai. Jika gelap mata, gelap hati maka kita berkemungkinan terdedah dengan bisikan untuk melakukan tindakan tidak berintegriti. 

Keduanya, KELUARGA DAN PARTI DAPAT NAMA BURUK. Apabila kita melakukan kesalahan maka yang akan terkesan bukan kita sahaja malah keluar dan parti kita juga akan terpalit walaupun belum lag iterbukti kesalahannya.

Contohnya, Mohd Sany Hamzan ketika menjadi Ketua Pemuda PAN telah pun bertegas sebelum ini apabila isu ini meletus agar Presiden PAN merehatkan Azhar kerana bimbang isu integriti bakal merosakkan parti mereka.

Ketiganya, perlu sentiasa berhati-hati dalam menjalankan tugas besar ini. Kena sentiasa beringat bahawa ADA PIHAK YANG MENCARI RUANG DAN PELUANG untuk mendapatkan projek dan bersedia untuk melakukan apa sahaja bagi mendapatkannya

Dalam hal ini, Kementerian perlu usahakan jalan supaya perkara seperti ini dapat dielakkan. Contohnya pagi semalam telah diadakan majlis Cabutan Undi Kerja-kerja di bawah peruntukan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi daerah Batu Pahat dan Pontian yang dilakukan secara adil dan berintegriti.

Keempatnya dan yang terakhir, PERLU KUKUHKAN PERTAHANAN DIRI daripada terlibat dengan rasuah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)” (Al-Baqarah: 188). 

Dalam satu hadith pula berbunyi mafhumnya “Allah melaknat pemberi rasuah dan penerimanya” (HR: Tirmidhi).

Saudara-saudari, ingatan ini juga adalah penting untuk kita semua di mana juga kita bertugas, jauhi rasuah walaupun sekecil-kecil rasuah.

Kepada sdr Azahar Che Mat Dali, semoga anda akan dibicarakan dengan seadilnya. Sehingga tulisan ini dinukilkan, mantan Menteri Pertahanan dan Presiden PAN masih tidak memberikan apa-apa ulasan tentang kes anda ini di dalam laman Facebok beliau dan saya masih ternanti-nanti.

Wassalam

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil

16 Oktober 2020




Ulasan