Assalamu'alaikum dan
salam perjuangan,
Bukanlah satu perkara
yang mudah bagi PAS dan UMNO untuk bersatu kembali dalam satu wadah. PAS yang
pernah bersama UMNO di dalam Perikatan/BN pada tahun 1973-1977 sudah pasti
tidak akan dapat melupakan pengalaman yang pada mulanya semanis madu tetapi
berakhir dengan kepahitan hempedu yang akhirnya membawa kepada kekalahan teruk
PAS di dalam Pilihanraya Umum pada tahun 1978 sehingga PAS tewas di Kelantan,
hanya tinggal dua kerusi DUN sahaja.
Seperti mustahil PAS
akan bersama dengan UMNO. Biarpun teruk ditekan namun PAS tidak akan bersama
dengan UMNO walaupun UMNO adalah kerajaan. Bagi PAS, itu tidak penting tetapi
yang pentingnya adalah mempertahankan prinsip perjuangan parti.
Saya tidak pernah
menyertai UMNO walaupun keluarga saya kuat dengan keUMNOannya. Saya menyertai
PAS pada tahun 1997 ketika PAS di Kluang masih lagi hanya ada 2 cawangan sahaja,
boleh gambarkan bagaimana kekuatan PAS pada masa itu. Walaupun ada usaha untuk
menarik saya ke dalam UMNO selepas PRU tahun 2004 khususnya daripada kaum
keluarga namun saya tetap konsisten dengan PAS walaupun hampir hilang deposit
calon di DUN Mahkota, Kluang.
Walaupun PAS dan UMNO
adalah musuh politik namun saya mengambil sikap untuk tidak bermusuh dengan
mereka kerana saya sedar bahawa di Kluang khususnya di mana-mana ada UMNO dan
bermusuh dengan orang UMNO adalah sesuatu yang merugikan.
Di dalam PRU 12 dan 13
saya masih lagi bertanding menentang UMNO/BN di kerusi DUN Mahkota tetapi dalam
masa yang sama saya terus membina hubungan dengan orang UMNO namun ia bukanlah
satu kerjasama politik antara PAS-UMNO.
PAS ditohmah
menerima RM 90 juta daripada UMNO. PAS dituduh berpakat dengan UMNO sebelum
PRU14. Tohmahan ini sengaja disebarkan supaya ahli PAS goyah dengan kepimpinan
PAS. Itu sahaja matlamatnya. Kononnya PAS nak selamatkan UMNO daripada kalah
dalam PRU14. Tetapi terbukti semuanya adalah palsu apabila PAS dan UMNO/BN
berentap di dalam pilihan raya tersebut sehingga BN buat pertama kalinya tewas.
PAS membuat keputusan
untuk bekerjasama dengan UMNO ketika UMNO bukan lagi parti kerajaan. UMNO sudah
hilang kuasa pemerintahan, UMNO tidak ada apa-apa tawaran yang boleh diberikan
kepada PAS kerana PAS dan UMNO sama-sama berstatus PEMBANGKANG.
Namun usaha penyatuan
ini mempunyai matlamat yang sama untuk menyelamatkan agama, bangsa dan negara
daripada terus dirobek oleh PH yang didominasi oleh DAP.
Muafakat Nasional
akhirnya ditubuhkan yang menyaksikan PAS dan UMNO disatukan dengan linangan air
mata para pimpinan dan perwakilan di PWTC pada 14 September 2019. Ia satu detik
bersejarah penyatuan umat Melayu Islam di Malaysia untuk kepentingan negara.
Tanpa dijangka, perubahan
politik negara membawa BERSATU menjalinkan hubungan politik dengan PAS/UMNO
membentuk sebuah kerajaan yang baharu di atas nama PERIKATAN NASIONAL. Ia
bukanlah satu ikatan yang kukuh sebagai mana hubungan PAS dan UMNO di atas nama
MUAFAKAT NASIONAL yang telah tertulis di atas satu Piagam bersama tetapi ianya
terbina untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang mahu menyingkirkan DAP daripada
tampuk pemerintahan.
Umumnya mengetahui situasi
yang sedang dihadapi di antara ketiga-tiga parti ini melalui perbicangan di
dalam media sosial dan saya tidak berhajat untuk mengulas panjang mengenainya
tetapi bukan sukar untuk memahami situasi hubungan di antara UMNO-BERSATU.
Di Kluang, saya telah
duduk mengeteh bersama Ketua UMNO Bahagian UMNO dan BERSATU malah dengan Ketua
MCA dan MIC. Saya mengimpikan kami semua dapat duduk semeja minum teh bersama
dalam masa terdekat. Baru-baru ini juga, saya luangkan masa duduk minum petang
bersama Ketua Wanita UMNO Kluang di warung cendol sawit, sebelah surau Al-Ghaffur,
Kluang.
Impian saya, PAS, UMNO dan
BERSATU dapat bersama dalam satu gabungan. Teringat saya pada lagu almarhum Tan
Sri P. Ramlee dan Saloma, Sedangkan
Lidah Lagi Tergigit.
“Buang yang keruh, ambil
yang jernih, baru teguh peribadi.”
Medukung kerajaan Perikatan
Nasional
Memperkukuh gabungan Muafakat
Nasional
Khairul Faizi bin Ahmad
Kamil
Yang Di Pertua PAS
Kawasan Kluang
16 Okotober 2020
Ulasan
Catat Ulasan