Johor lancar Iskandar NEXT - SINAR HARIAN


ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor hari ini melancarkan Iskandar New Economy Experience Talent (Iskandar NEXT) dalam usaha membawa pembangunan, pembaharuan dan pertumbuhan ekonomi digital di Iskandar Malaysia.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, Iskandar NEXT adalah inisiatif Iskandar Investment Berhad (IIB) dan rakan-rakannya yang merupakan program Perkongsian Awam dan Swasta (PPP).

"Ia akan membawa ekonomi digital yang baharu, perniagaan dan pengalaman hidup baharu serta bakat baharu ke Iskandar Malaysia," katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran itu di Fraser Place Puteri Harbour di sini hari ini.

Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Ir Khairil Anwar Ahmad.

Hasni berkata, Iskandar NEXT akan mampu menarik lebih banyak pelaburan ke daerah ini berdasarkan kemudahan dan kelebihan yang ditawarkan itu.
Menurut beliau, usaha itu membuktikan IIB memainkan peranan penting serta kekal sebagai penyumbang dalam pembangunan di wilayah Iskandar Malaysia sejak 2006 lagi.

Selain itu, beliau berkata, Revolusi Industri 0.4 akan mengambil tempat dalam sektor pembuatan di negeri ini ke satu tahap baharu dengan meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos operasi.

"Kelebihan tersebut perlu dimanfaatkan sepenuhnya kerana Johor memerlukan ekosistem digital bersepadu yang mesti dihubungkaitkan dengan kerajaan, pengguna dan peniaga.

"Pelabur sentiasa mahukan insentif dan lokasi strategik selain kestabilan politik serta ekonomi termasuk sumber manusia yang relevan apabila mahu melabur," katanya.

Katanya, Johor mempunyai semua kemudahan dan kelebihan tersebut malah mempunyai dua daripada lima koridor ekonomi utama di negara ini.

Artikel Penuh :
https://www.sinarharian.com.my/article/106484/EDISI/Johor/Johor-lancar-Iskandar-NEXT
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Ulasan