Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,
Apabila saya membaca berita ini, walaupun baru sahaja bermula pembacaanya, hati saya telah mula terusik apabila mengenangkan pengorbanan seorang ibu yang bersusah-payah menghantar anak lelakinya ke kampus Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang hanya dengan menggunakan motorsikal.
Puan Jumiati Masud, seorang peniaga kuih menghantar anaknya Muhammad Izzulhaq Mohamed Hasnan ke kampus USM dan memilih untuk anaknya belajar di kampus walaupun ada opsen yang lain keran mahukan anaknya mendapat kemudahan yang terbaik di sana.
Ibu redah 50km dengan motosikal hantar anak daftar USM
GEORGE TOWN – Demi masa depan anak lelakinya, seorang ibu sanggup meredah perjalanan kira-kira 50 kilometer (km) dengan motosikal bagi menghantar anak sulungnya mendaftar di Universiti Sains Malaysia (USM), Gelugor di sini hari ini.
Jarak tersebut perlu dilalui seorang peniaga kuih, Jumiati Masud, 53, untuk menghantar Muhammad Izzulhaq Mohamed Hasnan, 19, membuat pendaftaran sebelum dia bersendirian pulang ke rumah di Simpang Ampat, Nibong Tebal dekat sini.
USM memberikan tiga pilihan untuk pelajar baharunya mendaftarkan diri sebagai warga kampus iaitu hadir mendaftar dan pulang bersama waris; hadir mendaftar, menempatkan barang dalam desasiswa dan pulang atau mendaftar dan terus tinggal di asrama.
Jumiati berkata, dia bersyukur kerana masih boleh membuat pilihan untuk Muhammad Izzulhaq tinggal di asrama bagi menjamin keselesaan untuk menimba ilmu.
“Biarlah dia belajar dalam suasana yang terbaik kerana jika di rumah, kemudahan internet tidaklah begitu baik dan kami tiada kemudahan wifi atau sebagainya.
“Saya tidak kisah terpaksa menempuh perjalanan yang jauh untuk menghantarnya kerana mahu lakukan yang terbaik untuk anak saya,” jelas ibu kepada tiga cahaya mata lelaki tersebut.
Muhammad Izzulhaq adalah antara pelajar baharu USM yang mendaftar pada hari kedua sesi pendaftaran pandu lalu sidang akademik 2020/2021.
Sementara itu, Jumiati berkata, dia bersyukur kerana anaknya diterima untuk bergelar mahasiswa USM kerana tidak terlalu jauh dari rumah mereka.
“Sebelum ini dia pernah ditawarkan melanjutkan pelajaran ke sebuah universiti di Kuala Lumpur, namun kami terpaksa menolak kerana keadaan kewangan tidak mengizinkan,” katanya sambil mengakui hanya memiliki motosikal sebagai kenderaan harian.
“Saya juga risau lihat ibu balik sendiri ke rumah, namun terpaksa akur kerana ibu tekad dan sanggup bersusah-payah demi saya.
Muhammad Izzulhaq berjaya melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan dan ditempatkan di Desasiswa Restu, USM. – K! ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan