Tarik gelaran wira Samuel Paty



KUALA LUMPUR: PAS mendesak Presiden Perancis Emmanuel Macron menarik balik penganugerahan Legion d’Honneur yang membawa gelaran wira kepada Samuel Paty.

Malah menuntut Macron menarik balik segala ucapan berbaur provokasi dan tohmahan selain mengaitkan Islam dengan keganasan dan pelanggaran hak asasi manusia.

Desakan itu disampaikan dalam satu penyerahan memorandum di pejabat Kedutaan Besar Perancis di sini petang tadi berhubung tindakan Islamofobia Presiden negara itu rentetan penghinaan terhadap Rasulullah SAW.

“PAS juga mendesak agar kerajaan Perancis menggantung lesen penerbitan majalah Charlie Hebdo dan mengharamkan serta-merta penerbitan majalah tersebut,” ujar Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad yang menyertai penyerahan memorandum itu.

Turut hadir, Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad dan beberapa lagi wakil daripada PAS.

Tambah Ustaz Idris, pihaknya menggesa kerajaan berkenaan berhenti bersikap double standard kepada rakyat Perancis yang beragama Islam, mereka wajib menjaga hak dan kebajikan rakyat dan mengiktiraf hak mereka dalam mengamalkan anutan agama masing-masing.

Dalam pada itu katanya, kerajaan Perancis digesa mengkaji semula sekali gus membatalkan cadangan untuk memperkenalkan Rang Undang-Undang Pemisahan Islam.

Justeru itu, pihaknya akan mengadakan satu bantahan atas talian (online) bagi mengutuk tindakan provokasi Macron.

Bantahan itu melibatkan pelbagai pemimpin termasuklah Presiden PAS, Menteri Agama di Jabatan Perdana Menteri, tokoh-tokoh dakwah YADIM dan figura-figura awam yang terlibat dengan dakwah.

Katanya, protes juga akan dilakukan dengan memboikot segala produk keluaran Perancis terutamanya syarikat-syarikat yang bersengkongkol dengan gerakan menghina Islam dan Nabi Muhamad SAW.

Pada 16 Oktober lalu, satu tragedi berdarah berlaku di Perancis apabila seorang remaja lelaki Chechen, Abdullakh Anzorov memenggal kepala gurunya, Samuel Paty dipercayai berlaku selepas guru berkenaan menunjukkan kartun Nabi Muhammad SAW sebelum ini. – HARAKAHDAILY 27/10/2020



Ulasan