Titah nasihat YDPA kepada rakyat, ahli politik


ADALAH
 dimaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, hari ini, menitahkan agar kesemua masjid di seluruh negara mengadakan Solat Hajat dan Doa Selamat memohon ihsan Allah S.W.T agar penularan wabak COVID-19 dapat dibanteras dengan berkesan dan segera.

Titah Al-Sultan Abdullah ini berikutan penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah sehingga 26 Oktober, 2020 dan Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya sehingga 27 Oktober, 2020 serta kewujudan beberapa kluster baharu di Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Labuan.

Lantaran itu, Seri Paduka Baginda menasihati seluruh rakyat untuk terus memainkan peranan masing-masing dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard dan tatacara amalan kebiasaan baharu dalam membantu pihak-pihak berkuasa memerangi penularan COVID-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara.

Mengambil keberkatan sempena hari Jumaat yang mulia ini, Al-Sultan Abdullah turut menyeru seluruh rakyat untuk berdoa semoga negara yang kita cintai bersama ini dikurniakan keamanan dan ketenangan agar kemakmuran dan kesejahteraan negara serta rakyat sentiasa terjamin.

Berhubung dengan perkembangan terkini situasi politik negara, Seri Paduka Baginda menasihati rakyat, khususnya ahli-ahli politik, untuk bersama bermuhasabah agar negara ini tidak sekali lagi diheret ke kancah politik yang tidak menentu ketika kita semua masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat ancaman wabak COVID-19.

Al-Sultan Abdullah turut mengulangi titah nasihat Seri Paduka Baginda kepada Ahli-ahli Parlimen, semasa Istiadat Perasmian Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 pada bulan Mei lalu, untuk mempamerkan kematangan dalam berpolitik dan memahami serta menjiwai keluh kesah rakyat dan tidak mengabaikan kesejahteraan rakyat.

Seri Paduka Baginda menegaskan ahli-ahli politik seharusnya tidak mengakhiri perbezaan pendapat dengan permusuhan tetapi sebaliknya menyelesaikan permasalahan melalui perundingan dan proses-proses perundangan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

DATO’ INDERA AHMAD FADIL SHAMSUDDIN
Datuk Pengelola Bijaya Diraja 
Istana Negara – HARAKAHDAILY 16/10/2020

Ulasan