Inilah natijah akibat kita pasrah dan berserah kalah














SAYA mungkin bayangkan kita hanya mampu berpeluk tubuh dan membiarkan perkara itu terus merobek di dalam masyarakat kita.

1. Terlalu mencabarnya doktor perubatan untuk mengembalikan semula mereka kepada fitrah yang normal melalui kaedah pemulihan terhadap golongan LGBT tersebut. Mereka disokong oleh kumpulan-kumpulan yang kuat serta besar organisasinya di peringkat dunia.

2. Akhirnya kita sebagai doktor hanya berserah kepada takdir. Pasrah dengan apa sahaja yang berlaku dalam dunia akhir zaman ini. Jika sekiranya anak-anak kita yang terlibat (nauzubillahminzalik), kita sebagai atuk-nenek ataupun ayah-ibu tak boleh buat apa-apa. Jentik telinga pun tak boleh kerana bersalahan dengan normalisasi baharu. Sebaliknya kita perlu mendorong pula mereka melalui Gender Affirmative Health Care (pemberian ubat, motivasi psikologi bahkan rawatan pembedahan tukar jantina) supaya berfikiran seperti mana yang mereka mahu itu!

3. Mungkin Undang-undang Sivil dan Syariah perlu dihapuskan kerana undang-undang tersebut bersikap punitif atau menghukum yang boleh menzalimi mereka sedangkan hak mereka perlu diperjuangkan seperti mana yang dikehendaki oleh majoriti penduduk dunia.

4. Kita akan iktiraf segera kewujudan fahaman mereka dalam negara kita. Tidak mustahil, kita akan ubah segala prasarana yang seolah-olah nampak mendiskriminasikan mereka seperti tandas perlu tiga bahagian; masjid, gereja dan kuil perlu tiga bahagian; begitu juga dengan tempat awam yang lain yang dibahagikan lelaki dan wanita perlu ditambah dengan satu gender lagi.

5. Mungkin para alim ulamak perlu sekali lagi memeras otak serta guna fikiran cerdas mereka untuk menulis kitab-kitab yang bersesuaian berkaitan dengan fiqh gender ketiga ini.

6. Mungkin pemimpin ataupun parti politik juga perlu berfikiran terbuka dan bebas seperti mereka itu untuk terus memperjuangkan hak mereka di dalam dunia yang serba mencabar ini. Mereka tidak boleh didiskriminasikan. Apa saja polisi berkaitan, para pemimpin dan ahli politik kena sesuaikan.

Atau hanya ilusi, delusional dan fatamorgana saya sahaja?

Nota:

Ada pihak yang mengkritik atas dasar kod etika kedoktoran, maka doktor tidak boleh menghakimi mereka atau judgemental dalam menentukan bentuk rawatan. Ya, saya setuju dan tidak dinafikan bahawa kita sebagai doktor perubatan tidak boleh judgemental apabila kita merawat mereka yang berpenyakit. Jika mereka sudah ada penyakit bermakna, mereka perlu dirawat tanpa kita memilih bulu sama ada mereka itu berlainan agama, berlainan bangsa mahupun si penjenayah, kita wajib merawatnya.

Namun doktor sebagai manusia tidak boleh hati kering, tidak ada perasaan langsung ingin menasihati dan menegur mereka yang melakukan kerja-kerja yang boleh mendatangkan risiko tinggi kepada mereka sehingga dijangkiti oleh penyakit itu.

Bukankah tanggungjawab itu doktor perlu tanggung juga untuk menarik mereka kembali ke pangkal jalan? Kalau kita tidak mampu untuk menariknya, kita boleh merujuk kepada orang yang sudah menjalankan program yang boleh menarik mereka ke arah yang benar. Itu pun kalau doktor menganggap bahawa kecelaruan gender itu satu jenis penyakit! Kalau kita tidak menganggap bahawa ianya bukan penyakit maka kita akan terus berpasrah dengan redha apa yang berlaku di depan mata. Adakah kita terlalu naif?

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 3/1/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

Ulasan