KITA bermesyuarat Agung pada hari ini dalam suasana negeri Johor sedang dilanda banjir yang melanda hampir keseluruhan negeri Johor termasuklah di kawasan Kluang yang kita cintai ini. Dunia kini telah mengalami perubahan iklim yang menyebabkan berlakunya cuaca yang tidak menentu sehingga mendatangkan pelbagai fenomena seperti kemarau dan banjir ekstrem hingga memberi banyak impak teruk dan kejadian banjir di luar jangkaan sehingga banjir boleh berlaku sepanjang tahun.
Kita juga bermesyuarat Agung pada hari ini dalam suasana politik yang tidak menentu seperti juga keadaan cuaca. Kemenangan besar Perikatan Nasional memenangi 73 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum (PRU15) yang lalu telah menyebabkan ada pihak yang menjadi tidak keruan dan cuba mengheret ketidaktentuan mereka terhadap kita sehingga menyebabkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dihadapkan kepada satu penganiayaan politik selektif dengan mengheretnya kepada tuduhan rasuah oleh pemerintah hari ini.
Malam kelmarin, Solat Hajat Keselamatan Negara dan Solidariti Menentang Kezaliman telah diadakan di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat di Taman Malewar dan diimamkan oleh YB Tuan Guru Haji Zulkifli bin Ismail, Perasmi MAT PAS Kawasan Kluang kali ke 40 pada hari ini. Ini adalah di antara langkah yang kita lakukan bagi mengadu kepada Pencipta Yang Maha Adil dan Maha Berkuasa terhadap kezaliman dan penganiyaan yang sedang dihempap ke atas kita.
Para Pimpinan dan Perwakilan sekelian,
Empat Dekad bukanlah satu tempoh yang pendek, lebih-lebih lagi pada ketika awal penubuhan, ia adalah sebuah parti yang dianggap kerdil dari pandangan parti lain yang agak asing bagi masyarakat di Johor yang lebih mengenali Umno yang dilahirkan di negeri Johor. Menubuhkan PAS di Kluang oleh mereka yang terdahulu oleh sekelompok masyarakat muda yang dipimpin oleh seorang tokoh agamawan yang ingin melihat PAS terus berkembang di sini. Dengan serba kekurangan di setiap sudut, mereka yang terdahulu ini yang sebahagian daripadanya masih berada bersama kita di dalam dewan yang indah ini, meneruskan cita-cita untuk menjadi mata rantai penerusan perjuangan walaupun menyedari bahawa diri mereka dan keluarga mereka akan menerima ancaman, ugutan dan kecaman.
PAS sebenarnya telahpun wujud di Kluang sebelum tahun 1978 lagi. Mengikut allahyarham Haji Mohamad Afdzual bin Tulos, PAS ditubuhkan setelah beberapa ahli Umno bertindak keluar dari Umno dan meletakkan calon di Peringkat Parlimen dan DUN pada PRU tahun 1978. Namun, selepas PRU tersebut, PAS tidak lagi aktif seperti mana sebelum PRU. Mengikut Buku Laporan Muktamar PAS Pusat pada tahun 1978, PAS kawasan Kluang telahpun menghantar Perwakilan ke Muktamar PAS Pusat Kali Ke-23 pada 23-25 Julai 1977 di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur.
Namun begitu, keinginan dan hasrat untuk melihat PAS kembali bergerak di Kluang bermula selepas PRU tahun 1982 apabila sekelompok masyarakat yang ingin melihat PAS berkembang di Kluang telah berusaha untuk kembali menubuhkan PAS. Pada 5 November 1982, permohonan pertama untuk mendaftarkan PAS secara rasmi kepada Setiausaha Agung PAS telah dibuat dan pada 8 November 1982, surat permohonan tersebut telah ditandatangani oleh almarhum Ustaz Haji Omar bin Haji Jani, Ketua Penaja bagi PAS Kawasan Kluang. Permohonan tersebut telah diterima untuk diproses sehingga akhirnya diluluskan pada 21 Jun 1983. Permohonan tersebut telah disertakan sekali dengan 21 borang permohonan baharu ahli PAS antara mereka yang masih ada lagi sehingga kini adalah Haji Mohd Najib bin Hussin, Mahmood bin Ahmad, Mohd Mustaffa Kamal bin Ayub, Mas’od bin Hashim dan Rohana Ahad.
Para Pimpinan dan Perwakilan sekelian,
Sudah tentu, tanpa ada kekuatan, iltizam dan dorongan semangat serta keikhlasan yang tinggi oleh golongan terdahulu ini, sudah pasti sukar untuk PAS ditubuhkan di Kluang ini. Oleh kerana itu, saya memilih tajuk Menguji Keikhlasan Dalam Perjuangan sebagai ucapan terakhir saya selaku Yang Dipertua PAS kawasan Kluang untuk tahun ke-10 atau pada sesi yang ke-5 ini.
Hebatnya ikhlas bila ianya diperkatakan. Hebatnya ikhlas apabila dibuat semata-mata kerana Allah SWT. Hebatnya ikhlas apabila diberikan ganjaran berkat daripada Allah SWT. Seruan untuk kita bersama-sama mencari keberkatan Allah SWT dalam setiap amalan kita, pekerjaan kita, perbuatan dan percakapan kita dengan mengikhlaskan niat serta tindakan kita sudah kerap kali kita dengar di dalam program tarbiyyah kita. Begitulah yang dinukilkan oleh Murobbi kita, Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang tentang kehebatan ikhlas.
Wasiat Allahyarham Prof. Zulkifli Mohammad tentang pentingnya keihlasan sangat jelas dapat kita baca dalam ucapannya kepada wakil rakyat pada tahun 1964 sebelum beliau meninggal dunia,
“Saya perlu memberitahu saudara satu daripada syarat kejayaan bagi satu perjuangan ialah keikhlasan. Kita mungkin bodoh, mungkin jahil, mungkin tidak tahu apa, mungkin tidak kuat. Tetapi keikhlasan ada pada kita, maka ada harapan cita-cita ini dapat dilaksanakan. Tidak ada gunanya kita cerdik , pandai, kuat, sekiranya kita tidak ikhlas apa yang diperjuangkan. Kita sucikan tujuan kita kepada itu. Kita ketepikan kepentingan yang lain dari itu, ini perlu pada kita. Keikhlasan yang tidak ada belah baginya lagi. Keikhlasan yang tidak mengira yang lain selain dari apa-apa yang kita tuju di dalam perjuangan asal kita. Kejayaan orang yang dahulu pada diri kita, semuanya pada keikhlasan. Amat perlu keikhlasan ini, kita tanam, kita pupuk pada diri kita”.
Para perwakilan yang saya hormati,
Dalam kita beramal, amalan tidak ikhlas tidak akan diterima Allah SWT kerana ikhlas adalah sebuah sifat mahmudah yang sangat dituntut dalam Islam.
Firman Allah S.W.T:
وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاء وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ
"Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid, dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Agama yang benar.”
(al-Bayyinah: 5)
Firman Allah S.W.T:
"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.”
(Adz-Dzaariyaat: 56)
Sangat jelas di sini bahawa Allah menuntut kita untuk beribadah dengan ikhlas, hanya kerana Allah tanpa ada tujuan-tujuan yang lain. Allah memerintahkan kita untuk beribadah dengan ikhlas. Allah mengingatkan bahawa tujuan kita diciptakan hanya untuk beribadah kepadaNya.
Amalan kita akan dinilai berdasarkan niat kita. Jika niat kita hanya kerana Allah, maka kitapun akan mendapatkan pula ganjaran daripada Allah. Jika niat kita untuk mendapat keuntungan lain yang bersifat material, kita juga akan mendapatkannya tetapi tiadalah ganjaran daripada Allah.
Sekecil-kecil dan sebesar-besar amalan, ikhlas amatlah diperlukan. Segala perbuatan kita bila berada di dalam jamaah ini mestilah kita letakkan hanya kerana Allah SWT dan Rasul SAW, bukan kerana inginkan pujian atau bermegah sesama manusia, bukan sesuatu itu kita lakukan kerana manusia tetapi hanyalah semata-mata kerana Allah SWT. Maka, berniatlah kita lebih-lebih lagi bagi kita yang berada di dalam jamaah Islam dengan penuh ikhlas amat penting dan syarat ibadat kita diterima Allah SWT.
Rasulullah S.A.W bersabda:
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى
“Segala amal perbuatan itu berdasarkan niatnya, sedangkan masing-masing orang akan mendapatkan apa yang diniatkannya"
Rasulullah S.A.W bersabda:
إِنَّ اللَّهَ لاَ يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ
“Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa kamu juga tidak kepada harta kamu, akan tetapi Dia melihat kepada hati dan amal kamu”
(Hadis Riwayat Muslim)
Para Perwakilan yang saya kasihi sekelian,
Keikhlasan ini menjadi senjata antara seorang pejuang dengan Penciptanya, menjadi sumber utama yang menentukan nusrah (pertolongan) dalam mencapai kemenangan daripada Allah. Keikhlasan seorang pejuang merupakan jambatan utuh antara dirinya dengan Allah dan melalui hubungan erat inilah pula akan disalurkan pertolongan dan kemenangan.
Keikhlasan melahirkan kesungguhan bekerja dan bertugas tanpa mengharapkan balasan atau imbuhan dunia yang sedikit. Kesungguhan dalam keikhlasan akan menghasilkan kualiti perjuangan yang tinggi malah turut merningkatkan reputasi pejuang itu sendiri.
Sebab itu, tanpa keikhlasan dalam perjuangan, walaupun sehebat mana pengaruh seseorang itu akhirnya akan memudaratkan jamaah. Akan hilangnya keberkatan dan kemanisan berjuang. Akan mencetuskan pelbagai konflik dalaman yang melambatkan perjalanan jamaah dan kesannya ialah Allah SWT akan menangguhkan kemenangan yang telah dijanjikanNya.
Para perwakilan yang saya kasihi sekelian,
Saya ingin berpesan kepada diri saya terutamanya dan kepada semua para perwakilan dan para pemerhati supaya kita terus bekerja dalam jamaah walau tanpa jawatan. Ingatlah bahawa jawatan hanyalah alat sahaja. Buanglah sikap hanya aktif semasa memegang jawatan dan menghilangkan diri ketika tidak berjawatan kerana sikap negatif ini menzahirkan ketidakikhlasan dalam perjuangan.
Mereka yang ikhlas tidak bermain alasan, suka mencipta alasan dan menjadikan alasan untuk mengelakkan diri dari terus melaksanakan tanggungjawab dalam perjuangan. Sebaliknya gigih berikhtiar untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah dalam apa jua keadaan sekalipun.
لَا يَسْتَأْذِنُكَ الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ أَن يُجَاهِدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالْمُتَّقِينَ
“Orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tidak akan meminta izin kepadamu untuk (tidak turut) berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.”
إِنَّمَا يَسْتَأْذِنُكَ الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَارْتَابَتْ قُلُوبُهُمْ فَهُمْ فِي رَيْبِهِمْ يَتَرَدَّدُونَ
“Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan yang hati mereka (sangat) ragu-ragu. Oleh itu mereka sentiasa bingung teragak-agak dalam keraguannya.”
(surah al-Taubah : 44 - 45)
Bersedialah menerima arahan dalam apa jua keadaan walaupun arahan itu tidak bersesuaian dengan selera dan keinginan kita. Kita mestilah mengetepikan kepentingan peribadi dalam berjamaah. Ya, memang adakala agak sukar namun kita perlu latih diri untuk menghadapinya. Bertolak ansurlah dalam mengendali gerak kerja dan masalah jamaah. Hormatilah generasi terdahulu sekalipun mereka serba kekurangan kerana mereka sekurang-kurangnya menjadi mata rantai menyambung perjuangan suci ini.
Para perwakilan yang saya kasihi sekelian,
Jagalah rahsia jamaah, ia adalah suatu amanah yang mesti dipelihara oleh setiap anggota dan pimpinan. Kita pernah melalui satu ketika dahulu apabila ada di kalangan mereka yang memimpin telah membocorkan rahsia jamaah seperti mendedahkan minit mesyuarat kepada mereka yang bukan ahli mesyuarat adalah merupakan satu perbuatan khianat yang perlu dielakkan.
Keputusan yang dicapai dalam mesyuarat adalah untuk dilaksanakan, bukannya untuk dibincangkan sama ada ianya sesuai atau tidak sesuai untuk dilaksanakan. Ia merupakan kewajipan jamaei yang mesti dipatuhi. Ingatlah bahawa mewujudkan jamaah dalam jamaah atau mesyuarat tidak rasmi selepas mesyuarat rasmi untuk merubah keputusan jamaah dan menyanggahinya adalah satu kesalahan serius dalam akhlak berjamaah.
Para perwakilan yang saya kasihi sekelian,
Saya berbicara tentang ikhlas dan keikhlasan pada tengahari ini kerana ia adalah sesuatu yang sangat penting untuk kita sama-sama bermusabah diri kita. Dalam sejarah perjuangan PAS yang telah pun masuk ke tahun ke 72 pada tahun ini, kita telah dapat melihat betapa di kalangan pimpinan yang terdahulu yang telah gugur dalam perjuangan ini.
Malah bukan sahaja gugur, mereka bertukar menjadi musuh untuk menyerang kembali jamaah yang mereka dukung selama ini. Kepentingan peribadi antaranya, menjadi sebab untuk mengejar peluang yang lain apabila tiada jawatan atau kalah dalam pemilihan parti.
Ingatan ini juga saya tujukan kepada diri saya supaya kita semua akan terus beristiqamah sehingga Allah memanggil kita kembali kembali kepadaNya.
Akhir kalam, saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Guru Haji Zulkifli bin Ismail, Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka merangkap Ahli Parlimen Jasin kerana sudi menerima jemputan kami pada hari ini dan saya hadiahkan satu pantun untuk Tuan Guru ;
Terima kasih daun keladi,
Kerana sudi datang merasmi,
Jangan serik datanglah lagi,
tanda persaudaraan kekal abadi.
Saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS kawasan Kluang yang telah berjaya mengharungi ujian, cabaran, mehnah dan tribulasi sehingga ke penghujung sesi serta Panitia Mesyuarat Agung dan Program Pra Sambutan 40 Tahun PAS kawasan Kluang yang telah bekerja dalam satu pasukan untuk menjayakan majlis kita pada hari ini.
Berkejaran ikan ombak di laut,
Memukul pantai berpasir bersih,
Jasa tuan di sebut-sebut,
Saya ucapkan terima kasih.
Semoga Allah berkati dan rahmati kita semua.
KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL
Yang Dipertua PAS kawasan Kluang
19 Sya'aban 144 bersamaan 11 Mac 2023
www.khairulfaizi.com.my
Ulasan
Catat Ulasan