Penunggang GrabFood bukan hamba, ada maruah
January 19, 2024
Tiga penunggang GrabFood (dari kiri), Muhammad Kamal Najmi, Khairudin Ibrahim, dan Ahmad Fauzi ditemu bual HarakahDaily di Seksyen 51A, Petaling Jaya, Selangor pada hari ini, 19 Jan 2024. (HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)
PETALING JAYA: “Syarikat GrabFood seolah-olah memperhambakan hidup kami semua sedangkan kami sebagai penunggang GrabFood juga mempunyai maruah.”
Itu luahan seorang penunggang Grabfood, Muhammad Kamal Najmi, 42, yang mengeluh susulan penurunan kadar upah asas kepada hanya RM4 dan ke bawah baru-baru ini yang menurutnya adalah satu bentuk penindasan kepada golongan penunggang yang bertugas dengan syarikat penyedia perkhidmatan p-hailing, GrabFood Malaysia (GrabFood).
Menurutnya, dia bersama-sama rakannya telah menghadapi pelbagai risiko dalam melakukan perkara sebegini.
“Penunggang GrabFood juga memerlukan wang yang mencukupi bukan sahaja dalam mencari sumber rezeki tetapi juga dalam penyelenggaraan motor itu sendiri.
“Memang kami tidak menafikan GrabFood ada memberikan bonus yang banyak tetapi pada masa sama kenapa kadar upah asas kami pula yang dikurangkan secara mendadak?” soalnya.
Muhammad Kamal dan beberapa rakannya yang juga penunggang GrabFood ditemui HarakahDaily di Seksyen 51A, di sini, pada hari ini.
Tambahnya, bukan mudah untuk mendapatkan pesanan daripada pelanggan lebih-lebih lagi ada kalanya bilangannya banyak tetapi ada harinya bilangan pesanan sangat berkurangan.
“Pengurangan kadar upah akan memberikan kesan yang buruk kepada operasi penunggang GrabFood sendiri kerana perlu membayar lagi kos seperti minyak motor, kos makan dan minum serta banyak lagi.
“Ini ibaratkan Rob The Peter To Pay Paul iaitu GrabFood menaikkan bonus tetapi dengan cara kurangkan pula kadar upah asas kami.Bukti kadar upah asas buat golongan penunggang GrabFood yang kini telah diturunkan kepada RM4 bagi setiap pesanan berbanding RM7 sebelum ini. (FOTO: HARAKAHDAILY/
Justeru, pada hari ini dia bersama-sama rakan-rakannya telah turut serta dalam Protes Grab Blackout yang bakal diadakan di Ibu Pejabat Grab yang berdekatan di Axis Business Campus, di sini.
Sementara itu, rakannya bernama Khairudin Ibrahim, 43, turut serta dalam protes ini kerana merasakan pihak GrabFood telah melakukan penindasan yang luar biasa terhadapnya dan rakan-rakan penunggang GrabFood yang lain.
Dia juga tidak boleh menerima alasan yang dikenakan oleh GrabFood bertindak sedemikian yang kononnya berpunca daripada masalah teknikal, sedangkan hakikatnya pihak GrabFood sendiri yang menetapkan kadar sedemikian.
“Itu yang membuatkan kami semua betul-betul marah kerana perubahan sebegini tidak ada perbincangan sedikitpun dilakukan terhadap kami semua,” tegasnya.Team HarakahDaily turun padang mendengar masalah yang dihadapi penunggang-penunggang GrabFood pada ketika ini. (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)
Dia juga mengkritik GrabFood kerana melakukan penindasan sebegini dan pada masa yang sama, syarikat itu supaya berlaku adil terhadap setiap penunggang GrabFood.
“Apa pun kami akan tetap pertahankan keadilan sebagai penunggang GrabFood dan oleh sebab itu kami turun perhimpunan (protes) pada hari ini.
“Matlamat utamanya ialah supaya menggesa pihak GrabFood untuk kekalkan semula sekurang-kurangnya RM7 bagi kadar upah asas kami,” katanya.
Dia menegaskan perkara sedemikian kerana syarikat GrabFood perlu memikirkan juga keadaan penunggang-penunggang GrabFood, yang mana mereka bukan sahaja menghadapi risiko yang tinggi tetapi juga perlu menguruskan kehidupan keluarga seharian.
“Lagipun dengan kenaikan kos yang berlaku dari semasa ke semasa kami juga perlu membayar pelbagai lagi komitmen dan mereka perlu pertimbangkan juga mengenai perkara itu kerana jika tidak tindakan mereka sendiri yang akan makan diri mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/1/2024
Ulasan
Catat Ulasan