350,000 pekebun ‘berhenti’ menoreh



350,000 pekebun ‘berhenti’ menoreh
DIANGGARKAN pada April ini, pokok getah akan tumbuh pucuk baharu dan sekitar Mei keadaan dijangka kembali pulih seperti biasa.
Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA dan YATIMIN ABDULLAH
29 Mac 2024, 7:50 am

PETALING JAYA: Meskipun harga getah kini mencecah RM4 sekilogram, kira-kira 350,000 daripada 500,000 pekebun kecil tidak keluar menoreh sejak Februari lalu berikutan pokok-pokok sedang dalam fasa daun luruh.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, musim daun pokok getah meluruh ketika ini dijangka berakhir pada hujung April
ini.


“Memang dalam tempoh musim daun luruh ditambah pula cuaca panas ketika ini, kira-kira 70 peratus daripada 500,000 pekebun kecil getah memilih tidak keluar menoreh dan terpaksa melakukan kerja-kerja lain.

“Bayangkan jika tetap menoreh, hasil diperoleh kurang 60 peratus. Jika sebelum ini purata sebulan seorang pekebun kecil mampu peroleh 600 kilogram susu, sekarang nak dapat 300 pun susah, jadi ia tidak setimpal dengan kerja.

“Ketika ini susu getah yang ditoreh cepat kering, berhenti mengeluarkan susu dalam tempoh 30 minit berbanding tiga jam sebelum ini. Jadi, kerana hasil kurang dan bimbang pokok rosak, lebih baik berhenti menoreh seketika walaupun harga getah RM4 sekilogram ketika ini,” katanya, semalam.

Mengulas lanjut, Mohd. Firdaus memberitahu, dianggarkan pada April ini, pokok getah akan tumbuh pucuk baharu dan sekitar Mei keadaan dijangka kembali pulih seperti biasa.


“Pada bulan Mei ini baharu pekebun kecil getah dijangka dapat kembali menoreh seperti biasa dan ketika itu kita belum tahu harganya berapa. Adakah masih kekal dengan harga RM4 sekilogram seperti ketika ini?

“Jadi, YPNM berharap kerajaan mengkaji memberikan insentif khas kepada pekebun kecil getah dalam tempoh musim meluruh ini. Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang diberikan kerajaan pada ketika ini adalah mengikut hasil, jika hasil kurang, insentif pun kurang.

“Jika kerajaan dapat berikan insentif khas dalam bulan Ramadan ini, tentunya ia memberikan kegembiraan kepada pekebun kecil getah. Dapatlah ia digunakan bagi membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Usahawan Getah Bumiputera Malaysia (PUGBM), Kameruzaman Ab. Rahman menasihatkan golongan penoreh dan pekebun kecil agar tidak terlalu gembira dengan kenaikan harga getah daripada RM3.40 kepada RM4 sekilogram kerana ia disifatkan sementara sahaja.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, berpandukan kepada pengalaman sebelum ini, harga bahan mentah itu tidak menentu dan boleh jatuh secara tiba-tiba sehingga ke paras terendah.

Menurutnya, beliau tidak mahu penoreh dan pekebun boros berbelanja semasa harga getah mencecah sehingga RM9 sekilogram seperti pada 2011 sehingga menyebabkan mereka terbeban dengan hutang selepas harga bahan mentah itu menjadi murah.

“Jadi, kesempatan yang ada ketika ini, eloklah kita belanja secara berhemat dan memberi barangan mengikut keperluan sahaja.

“Pada masa sama, simpanan juga perlu ada supaya penoreh dan pekebun tidak berdepan kesukaran jika harga getah jatuh nanti,” katanya.

Mengulas lanjut, Kameruzaman menjelaskan, kemarau yang sedang melanda negara ketika ini turut memberikan kesan tidak baik kepada pengeluaran susu getah.

Tambah beliau, pengeluaran ketika cuaca panas menjadi kurang, cair dan kandungan getah kering (KGK) rendah sekali gus bahan mentah tersebut menjadi tidak berkualiti.

“Sebab itulah penoreh dan pekebun perlu sentiasa bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan pada masa hadapan.

“Bagaimanapun, saya harap harga getah kekal pada paras ini kerana ia banyak membantu pekebun dan penoreh,” ujarnya. – UTUSAN

Ulasan