Dividen KWSP: Berdosa jika degil
OlehASWANY OMAR
07 Mac 2024 09:00amMasa membaca: 4 minit
Pencarum KWSP beragama Islam digalakkan menukar daripada simpanan konvensional kepada syariah supaya 'simpanan' lebih bersih dan halal.
KOTA BHARU - Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) beragama Islam digalakkan menukar daripada simpanan konvensional kepada syariah supaya 'simpanan' lebih bersih dan halal.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, mereka perlu memilih yang terbaik seperti disarankan dalam ajaran Islam.
“Jika kita sudah tahu ada pilihan yang halal dan bersih, maka berdosa jika terus berdegil untuk kekal dengan kaedah konvensional.
“Kita tidak mahu melihat kepada jumlah dividen tetapi paling penting ialah wang atau harta yang ada itu halal,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah beliau, pencarum KWSP perlu bersyukur kerana sebelum ini hanya ada simpanan konvensional tetapi kini terdapat pilihan kepada yang lebih Islamik.
“Kita berterima kasih kepada KWSP kerana pencarum sudah boleh memilih kepada syariah,” katanya.
Beliau menambah, masih ada sebahagian pencarum KWSP belum memahami dan sebahagian lagi belum berkesempatan beralih kepada simpanan syariah.
“Kita nasihatkan umat Islam bertukar kepada kaedah Islam untuk mendapat pahala dan jika semua memilih patuh syariah, insya-ALLAH pulangan selepas ini akan meningkat,” katanya.
Artikel Berkaitan:Sistem konvensional bertentangan keredaan ALLAH - Mufti
Sinar Harian sebelum ini melaporkan saranan Pakar Kewangan Islam, Dr Zaharuddin Abd Rahman yang menyatakan nilai patuh syariah KWSP konvensional milik pencarum beragama Islam yang halal dinikmati hanya sebanyak 1.87 peratus sahaja.
“Jika dividen konvensional ini nilainya RM10,000, maka sebanyak RM6,600 perlu dibersihkan,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan