Kejayaan gencatan senjata Gaza di tangan Hamas - Biden

Kejayaan gencatan senjata Gaza di tangan Hamas - Biden

Mac 6, 2024 @ 9:44am
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden. - Foto REUTERS


KAHERAH: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, berkata kini keputusan berada di tangan pemimpin Hamas sama mahu membebaskan tebusan Israel sebagai pertukaran bagi gencatan senjata di Semenanjung Gaza.

Beliau membuat kenyataan itu ketika delegasi rundingan damai berjumpa pada hari ketiga tanpa sebarang kejayaan berikutan sikap Hamas dan Israel yang enggan bertolak ansur berhubung syarat yang ditetapkan masing-masing.

Perunding dari kumpulan pejuang Palestin, Qatar dan Mesir berada di Kaherah dan cuba mendapatkan pengisytiharan gencatan senjata selama 40 hari dalam perang Israel-Palestin berikutan bulan Ramadaan yang bakal tiba tidak lama lagi.

Perjanjian yang dibentangkan kepada pemimpin Hamas itu antara lain adalah untuk membebaskan beberapa tebusan yang ditangkap oleh pejuang Palestin ketika serangan Oktober sehingga mencetuskan perang.
DISYORKAN UNTUK ANDA









Pada masa sama, bantuan kepada Gaza akan ditingkatkan bagi mengelakkan kebuluran, di mana semakin ramai kanak-kanak yang kekurangan zat dibawa ke hospital untuk rawatan kritikal. Pemimpin Hamas akan menyediakan senarai semua tebusan yang ditahan di Gaza.


Pembebasan tebusan yang sakit, cedera, warga emas, kanak-kanak dan wanita akan membolehkan gencatan senjata serta-merta dilaksanakan di Gaza sekurang-kurangnya selama enam minggu.


Wanita Palestin dan bayi mangsa perang di Gaza mendapatkan rawatan dis ebuah klinik di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP



Perkara itu disahkan Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan dan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, selepas mesyuarat hari ini.

"Fasa pertama gencatan senjata ini akan membolehkan bantuan kemanusiaan diberikan kepada penduduk Gaza dan menyediakan masa serta ruang untuk mendapatkan rumusan lebih berkekalan dan ketenangan secara berterusan," menurut kenyataan Rumah Putih.

Terdahulu di Beirut, pemimpin Hamas, Osama Hamdan, mengulangi tuntutan utama kumpulannya iaitu menamatkan serangan tentera Israel, pengunduran tentera Israel, dan membenarkan pelarian Palestin dari Gaza kembali ke rumah mereka.

Beliau berkata sebarang pertukaran tahanan tidak boleh berlaku kecuali selepas gencatan senjata, mencerminkan pandangan Hamas bahawa gencatan senjata mesti dilaksanakan dan sebagai langkah ke arah penyelesaian konflik.

Bagaimanapun di pihak rejim Zionis, pihaknya hanya mahu menghentikan sementara perang untuk membolehkan tebusan keluar dari Gaza dan lebih banyak bantuan dapat disalurkan.

Pada masa sama, Israel juga menegaskan bahawa ia tidak akan menamatkan konflik sehingga pejuang Hamas 'dihapuskan."

Anggota tentera udara Amerika Syarikat (AS) menyediakan bantuan kemanusiaan untuk digugurkan dari udara bagi membantu penduduk Gaza. - Foto REUTERS



Biden berkata tawaran yang diberikan oleh Israel itu ada rasional dan harus diterima Hamas bagi meredakan keadan sekarang.

"Jika perang ini berterusan sehingga Ramadan, ia akan menjadi sangat bahaya," katanya kepada pemberita.

Keganasan Palestin-Israel di Israel dan wilayah Palestin yang diduduki sering meningkat semasa Ramadan, begitu juga permusuhan terhadap Israel di dunia Arab dan Islam, mewujudkan insentif yang kuat untuk pemimpin mencapai perjanjian sebelum itu.

Pegawai kanan Hamas, Bassem Naim berkata pihaknya sudah membentangkan draf perjanjiannya sendiri, dan sedang menunggu jawapan daripada Israel.

Katanya, Netanyahu tidak mahu mencapai persetujuan dalam rundingan setakat ini dan keputusan kini di bawah tanggungjawab AS selaku sekutu kuat, penyokong dan penasihat utama regim Zionis itu.

Sumber memberitahu Reuters sebelum ini bahawa Israel menjauhkan diri kerana pemimpin Hamas enggan memberikan senarai tebusan yang masih hidup.

Naim berkata ini penyerahan tebusan itu mustahil dilaksanakan tanpa gencatan senjata kerana tebusan berada di beberapa zon perang serta dikendalikan oleh kumpulan pejuang yang berasingan. - REUTERS

Ulasan