Kerajaan Korea Selatan arah doktor kembali bertugas

Kerajaan Korea Selatan arah doktor kembali bertugas
March 2, 2024


Barisaan doktor berarak ke Pejabat Presiden untuk membantah dasar perubatan kerajaan di Seoul, Korea Selatan pada 25 Feb 2024. (FOTO: REUTERS)

SEOUL: Kerajaan Korea Selatan pada lewat Jumaat (1 Mac) secara terbuka mengarahkan 13 daripada 9,000 doktor yang mengadakan demostrasi memprotes pelan pembaharuan sistem kesihatan negara itu, untuk kembali bertugas atau berdepan hukuman.

Notis undang-undang awam itu adalah petanda terbaharu pendirian tegas kerajaan Korea Selatan terhadap doktor pelatih yang mengambil bahagian dalam tindakan keluar atau mengkritik pelan pembaharuan, selepas polis tempatan menyerbu pegawai persatuan doktor pada Jumaat, yang merupakan cuti umum di Korea Selatan.

Kementerian Kesihatan Korea Selatan menyiarkan di laman webnya nombor lesen dan hospital 13 doktor tersebut, mengarahkan mereka kembali bekerja atau berkemungkinan lesen mereka digantung atau menghadapi tuduhan jenayah, lapor Reuters.

Nama-nama doktor telah disunting sebahagiannya, tetapi sekurang-kurangnya ada yang kelihatan seperti doktor pelatih yang sangat lantang bersuara memprotes mengenai tindakan keluar dan mengkritik kerajaan, termasuk Ketua Persatuan Pelatih dan Penduduk Korea, Park Dan.

Pihak berkuasa negara itu pada Jumaat meningkatkan tekanan untuk menamatkan tindakan keluar, dengan pihsak polis melancarkan serbuan yang menyasarkan pegawai Persatuan Perubatan Korea.

Terdahulu, kerajaan Korea telah memberikan Khamis (29 Feb) sebagai tarikh akhir untuk doktor kembali bertugas atau berdepan hukuman, tetapi data kementerian kesihatan menunjukkan lebih dua pertiga daripada doktor pelatih, atau hampir 9,000, telah mengabaikan panggilan untuk kembali bekerja.

Kumpulan doktor tersebut telah merancang demonstrasi besar-besaran pada Ahad (25 Feb) lalu untuk membantah rancangan kerajaan bagi meningkatkan kemasukan ke sekolah perubatan sebanyak 2,000 bermula dari 2025, untuk memperbaiki apa yang dikatakan sebagai kekurangan doktor dalam salah satu masyarakat paling cepat menua di dunia itu. – HARAKAHDAILY 2/3/2024

Ulasan