Penduduk Rafah makin tertekan, Israel terus sasar bangunan dihuni orang awam
PENDUDUK Palestin mengeluarkan barangan mereka daripada serpihan kediaman yang runtuh di Rafah di selatan Semenanjung Gaza.-AFP
Oleh WARTAWAN LUAR NEGARA
29 Mac 2024, 7:30 am
GAZA: Israel mengebom sekurang-kurangnya empat buah kediaman di Rafah, mencetus kebimbangan serangan darat yang lama dirancang di lokasi perlindungan terakhir lebih sejuta penduduk Gaza itu bakal berlaku dalam tempoh terdekat.
PENDUDUK MAKIN TERTEKAN
Menurut pegawai kesihatan Gaza, siri serangan udara tersebut turut membunuh 11 orang daripada satu keluarga.
Seorang saksi, Mussa Dhaheer sempat melihat dari bawah ketika jirannya membantu seorang pekerja kecemasan menurunkan mangsa dalam beg mayat hitam dari tingkat atas.
Mussa berkata, dia mencium anak perempuannya yang ketakutan selepas rumahnya turut bergegar akibat serangan itu sebelum menyedari bapa dan ibunya antara yang maut.
“Saya tidak memahami dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Ibu bapa saya bersama rakan-rakannya baru sahaja berpindah ke sini dari Gaza City.
“Mereka semua sedang duduk bersama apabila tiba-tiba semuanya hilang seperti debu,” katanya.
Di tapak bom yang lain, Jamil Abu Houri berkata, peningkatan serangan udara itu adalah cara Israel menunjukkan penghinaan terhadap resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang menuntut gencatan senjata segera di Gaza.
Jamil turut bimbang serangan darat ke atas Rafah yang disebut-sebut oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu akan tetap dilakukan walaupun menerima amaran daripada Washington yang tindakan itu akan mendatangkan bencana kemanusiaan.
“Pengeboman meningkat, dan mereka sengaja mengancam kami seumpama mereka sudah diberi lampu hijau untuk menceroboh Rafah. Di manakah UNSC?” katanya.
Pegawai Amerika Syarikat (AS) berkata, Israel meminta untuk menjadualkan semula mesyuarat di Washington bagi membincangkan rancangannya di Rafah, beberapa hari selepas Netanyahu secara tiba-tiba membatalkan rundingan tersebut gara-gara tidak berpuas hati dengan peranan dimainkan negara itu di UNSC.
AS memutuskan untuk tidak memveto resolusi gencatan senjata Gaza oleh UNSC sebaliknya memilih berkeculi dalam undian yang diadakan Isnin lalu.
SERANGAN BERTERUSAN
Lapor pihak berkuasa kesihatan Gaza, satu lagi serangan udara Israel di Rafah pada petang Rabu membunuh empat rakyat Palestin termasuk seorang wanita dan seorang kanak-kanak serta mencederakan puluhan penduduk lain.
Di sebelah barat Gaza City di utara wilayah itu, tujuh orang terbunuh dalam serangan udara ke atas sebuah rumah.
Tentera Israel seperti biasa enggan bertanggungjawab terhadap kematian orang awam Palestin sebaliknya mendakwa hanya menyasarkan anggota Hamas yang berlindung di blok pangsapuri dan hospital.
Dalam insiden berasingan di Tebing Barat yang diduduki, pertumpahan darah dilaporkan bertambah buruk apabila tiga rakyat Palestin terbunuh dan empat lagi cedera ditembak semasa serbuan semalaman rejim Zionis di Jenin.
Sekurang-kurangnya 32,000 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara dan darat Israel ke atas Gaza dengan beribu-ribu lagi dipercayai tertimbus di bawah runtuhan dan lebih 80 peratus daripada 2.3 juta penduduk yang kehilangan tempat tinggal berisiko mengalami kebuluran.
Tentera Israel di utara Rafah mengepung dua hospital utama Al-Amal dan Al-Nasser di Khan Younis,di bawah sekatan yang dikenakan lewat minggu lalu.
Di utara, tentera masih menjalankan operasi ketenteraan di dalam Al Shifa, hospital terbesar di kawasan itu yang diserbu lebih seminggu lalu.
Israel mendakwa hospital-hospital itu menjadi sarang anggota bersenjata Hamas dan membunuh serta menangkap ratusan pejuang dalam pertempuran di Al Shifa.
Hamas berkata, ratusan orang awam dan pegawai perubatan di hospital berkenaan turut ditahan dan diseksa rejim Zionis.
Kementerian kesihatan Gaza berkata, penduduk cedera dan pesakit dikurung di dalam jabatan sumber manusia Al Shifa yang tidak dilengkapi alat penjagaan kesihatan mencukupi.
Penduduk yang tinggal berdekatan melaporkan mendengar letupan berterusan di dalam dan sekitar hospital Al Shifa dengan kepulan asap tebal dilihat memenuhi ruang udara premis itu.
Pengantaraan antarabangsa gagal untuk mendapatkan gencatan senjata dan pertukaran tahanan selepas kedua-dua pihak berpegang kepada tuntutan yang tidak dapat dibincangkan.
Hamas mahu menamatkan perang dan pengunduran sepenuhnya Israel dari Gaza manakala rejim Zionis berikrar untuk terus berjuang sehingga musuh dihapuskan meskipun menerima desakan antarabangsa termasuk gesaan gencatan senjata yang mendapat sokongan majoriti negara anggota UNSC.-REUTERS
Ulasan
Catat Ulasan