Puasa formula tangani kos hidup

Puasa formula tangani kos hidup
Oleh Zulkifli Jalil
12 Mac 2024, 7:45 am

MEMBUKA tirai bulan puasa 2024 bukan lagi seperti sebelum ini.

Dulunya kurang ambil kira isu pembaziran semasa berbelanja dan berbuka. Perbelanjaan dalam sehari saja berpuasa pun lebih tinggi berbanding hari di luar Ramadan.

Maka elok kali ini tempoh sebulan berpuasa dijadikan medan muhasabah menilai kehendak diri dan keluarga. Jika kehidupan hari ini diuar-uarkan ‘era kos sara hidup’, maka molek dijadikan Ramadan permulaan azam baharu.

Dengan berlapar menahan diri dari makan, minum dan menjauhi perbuatan mungkar dan membazir, setiap keluarga Islam perlu menjadual dan menstrukturkan semula kehidupan harian.

Semua maklum kesan kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kepada lapan peratus mulai 1 Mac. Itu belum kira lagi pelarasan semula subsidi elektrik selain kenaikan caj bekalan air terawat. Setiap kategori dari B40, M40 dan T20 terkesan. Peningkatan kos sara hidup tidak sejajar kenaikan gaji menyebabkan hampir seluruh gaji digunakan membeli keperluan barangan harian.

Defisit sudah pasti setelah ditolak bayaran sewa rumah atau pinjaman perumahan dan kenderaan. Tetapkan had gaji minimum sekalipun belum mencukupi jika hanya seorang ahli keluarga bekerja.
Itu belum lagi menjangkit ke simptom tekanan pe­rasaan, sukar tidur, hilang selera makan, sakit kepala, bimbang dan mudah marah. Natijahnya merebak ke masalah sosial lain terutama perceraian, penderaan serta gejala sosial melibatkan anak-anak.


Berpuasa memberikan ketenangan dan kedamaian minda. Ia berikutan paras gula dalam darah menjadi semakin stabil, merendahkan kolesterol dan mengurangkan tekanan darah sistolik. Puasa ibadah terbaik sebagai latihan mental, rohani dan jiwa yang akan merangsang tingkah laku positif kepada individu yang amalkannya.

Mari kita jadikan Ramadan ini medan uji kaji atau eksperimen. Semak semula perbelanjaan dan strukturkan yang mana patut-patut. Nilaikan kembali tindak tanduk diri, isteri, suami dan anak-anak.
Tahun lepas sahaja difahamkan peniaga bazar Ramadan di Selangor membuang sekitar 1,326.06 tan makanan yang tidak habis dijual dalam tempoh 18 hari rakyat Malaysia berpuasa.

Jumlah itu bersamaan dengan berat 195 ekor gajah dewasa. Secara puratanya sisa bahan makanan dibuang sebanyak 73.67 tan sehari.

Trend pembuangan sisa makanan sejak tiga tahun lalu meningkat 15 hingga 20 peratus. Atau sekurang-kurangnya 10,000 tan makanan pada musim perayaan dan Ramadan.

Moga-moga selepas sebulan berpuasa akan muncul rumusan dan formula terbaik. Ia hasil penjadualan dan penstrukturan kehidupan harian.

Jika begitu kesudahannya, teruskanlah sambung disiplin hidup yang baharu ini hasil Ramadan, ke bulan-bulan berikutnya.

Puasa yang penuh kepatuhan pada komitmen iman, disiplin melaksanakan kewajipan dan patuh pada hukum menjadi pangkal pembangunan diri manusia se­utuhnya. – UTUSAN

Zulkifli Jalil adalah Pengarang Eksekutif Utusan Malaysia

Ulasan