Sektor kesihatan dalam krisis?
KERAJAAN perlu mengatasi isu dalam sistem perkhidmatan awam ini jika tidak mahu negara kekurangan pegawai perubatan dalam jangka masa panjang.
Oleh AHMAD FADHLULLAH ADNAN
26 Mac 2024, 8:00 am
PETALING JAYA: Sektor kesihatan negara bakal berhadapan krisis dalam beberapa tahun akan datang ekoran peletakan jawatan pegawai perubatan yang meningkat saban tahun.
Beberapa isu dalam sistem perkhidmatan awam antaranya gaji tidak progresif, beban tugas tinggi dan tekanan di tempat kerja, selain tawaran yang lebih baik daripada syarikat swasta dan luar negara mendorong kepada masalah ini.
Statistik menunjukkan doktor kontrak yang meletak jawatan sejak 2017 sehingga tahun lepas secara keseluruhan menunjukkan peningkatan dengan 110 orang pada 2017; 168 (2018); 475 (2019); 511 (2020); 768 (2021); 1,354 (2022) dan 924 (2023).
Jurucakap Gerakan Hartal Doktor Kontrak mendakwa, peletakan jawatan berterusan menyaksikan jumlah doktor pada peringkat pegawai perubatan (MO) semakin berkurangan.
Katanya, kadar peratusan keluar dari perkhidmatan semakin tinggi setiap tahun berbanding kadar kemasukan pegawai perubatan pelatih.
“Lantikan sesi 1 2024 menyaksikan cuma berapa orang doktor pelatih masuk ke dalam sistem latihan klinikal (housemanship), manakala yang lain memilih untuk berhijrah atau tukar karier.
“Dengan bilangan doktor yang keluar sangat melebihi daripada yang masuk ke dalam sistem, bayangkan apa akan jadi beberapa tahun lagi?
ADVERTISING
“Mungkin kita akan kembali ke 20 tahun dahulu di mana Pembantu Pegawai Perubatan atau dressar terpaksa mengambil alih tugas-tugas doktor di klinik kesihatan.
“Justeru, kerajaan perlu mengatasi isu dalam sistem perkhidmatan awam ini jika tidak mahu negara kekurangan pegawai perubatan dalam jangka masa panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sejumlah 3,046 doktor kontrak meletak jawatan dalam tempoh tiga tahun lalu.
Dalam jawapan bertulis di Dewan Negara, Kementerian Kesihatan melaporkan, antara alasan diberikan oleh doktor kontrak ketika meninggalkan perkhidmatan awam adalah mendapat tawaran lebih baik di sektor swasta dan universiti awam, masalah peribadi dan isu kesihatan.
Akhbar ini tahun lalu pernah melaporkan lebih 200 doktor gagal melapor diri atau menolak jawatan kontrak untuk berkhidmat di Sarawak.
Antara alasan adalah ditempatkan di lokasi jauh dari keluarga, bekerja terlalu banyak dalam persekitaran yang kekurangan kakitangan dengan gaji rendah, sukar mengambil cuti untuk pulang melihat keluarga di Semenanjung.
Malah keputusan meletak jawatan kerana tidak ramai dalam kalangan muda sanggup mengorbankan kualiti hidup mereka kerja lebih banyak apatah lagi dengan bayaran tuntutan kerja lebih masa yang rendah.
Mengulas lanjut, jurucakap Gerakan Hartal Doktor Kontrak berkata, kerjaya masa depan di dalam sistem kesihatan merupakan perkara terbesar yang menjadi kebimbangan doktor kontrak.
Katanya, meskipun kini kerajaan baru mula membuka penempatan tetap, tetapi langkah itu dilihat terlewat kerana sudah ramai yang berhijrah atau bertukar kerjaya disebabkan tiada jaminan.
“Sekiranya kekal sistem kontrak, mereka cuma ada masa berkhidmat sehingga tujuh tahun sahaja. Bayangkan, para doktor yang sejak awal memasuki kerjaya ini dengan harapan ingin dapat jaminan karier yang stabil, akhirnya harapan musnah,” katanya.
“Namun kami menyambut baik langkah kerajaan yang mula menyerap para doktor kontrak ke tetap, tetapi juga perlu diberikan perhatian agar mereka yang telah keluar, juga diberikan peluang sama atau peluang kedua untuk kembali bersama dengan Kementerian Kesihatan.
“Ini secara tidak langsung mengukuhkan lagi sistem perkhidmatan Kementerian Kesihatan kerana kebanyakan doktor yang keluar dari perkhidmatan, memiliki kemahiran yang tinggi dalam latihan dan bidang masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Gerakan Hartal Doktor Kontrak mencadangkan, kerajaan menyemak semula skim penggajian yang telah lapuk dan perlu seiring dengan perkembangan kos sara hidup yang semakin tinggi.
“Bayangkan, sekiranya seorang doktor kontrak gred UD43 bergaji bersih RM5,000 termasuk elaun, (namun) masih dikategorikan sebagai B40 sekiranya mengikut pengkelasan pendapatan isi rumah di Kuala Lumpur.
“Pada masa kerajaan perlu menerima semula mereka yang telah keluar untuk kembali berkhidmat. Tidak perlu sampai ke luar negara untuk mencari doktor dan pakar kembali berkhidmat,” katanya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan