Siapa orang tempatan bantu ejen Israel masuki Malaysia?





Siapa orang tempatan bantu ejen Israel masuki Malaysia?
March 30, 2024
Oleh HAZIQ AIMAN

KUALA LUMPUR: PAS mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai pengumuman semalam tentang penahanan seorang ejen Israel bersama enam pucuk senjata api serta 200 butir peluru di ibu negara, pada Rabu lalu.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari dalam kenyataannya pada hari ini berkata, bagaimanapun timbul satu persoalan siapakah pula ejen tempatan yang telah membantu ejen Israel itu memasuki Malaysia?

“Harap agar pihak PDRM sekali lagi segera membuat tangkapan dan pendakwaan terhadap pihak yang terlibat. Jangan lepaskan ejen ini keluar, hukum sekeras-kerasnya mengikut undang-undang negara kita yang berdaulat.

“Isunya adalah bagaimana mereka boleh melepasi pemeriksaan imigresen dengan pasport Perancis? Bagaimana dia mendapatkan senjata api yang begitu banyak? Menteri KDN (Kementerian Dalam Negeri) perlu jawab,” katanya.

PDRM dalam sidang medianya semalam mengesahkan telah menahan seorang lelaki warga Israel di salah sebuah hotel di Jalan Ampang, ibu negara pada Rabu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam pada itu memaklumkan bahawa ketika pemeriksaan dilakukan, suspek menyatakan dia menggunakan pasport Perancis untuk memasuki negara ini.

Walau bagaimanapun, menurut beliau, suspek berusia 36 tahun itu kemudiannya memberikan satu lagi pasport miliknya yang mempunyai taraf kewarganegaraan Israel.

Tambah Razarudin, hasil daripada pemeriksaan yang dilakukan menemukan senjata api jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sih Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru yang diletakkan di dalam beg miliknya.

Beliau berkata, siasatan mendapati kesemua senjata berkenaan dibeli suspek sebaik tiba di negara ini dengan menggunakan mata wang kripto.

Sehubungan itu, beliau menegaskan PDRM sedang membuat dari aspek bagaimana senjata itu dibawa masuk ke negara ini dan siapa yang menyeludupnya, dan siapa penerima pembayaran yang dibuat oleh suspek.

Terdahulu pada 2023, laporan media tempatan berkata (PDRM) sedang mengumpul maklumat berkaitan sebarang dakwaan membabitkan ejen Mossad di dalam negara, berikutan kelantangan Malaysia menyokong Palestin.

Dalam sidang media pada 8 November 2023 itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, isu keselamatan dan ketenteraman adalah di bawah tugas PDRM yang tidak akan diabaikan, dan “Sekiranya kita mempunyai maklumat itu, tangkapan akan dibuat.”

Pada Oktober 2022, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilaporkan akan meneliti dakwaan ada ejen perisikan dari Israel masuk ke Malaysia dan menculik warga Palestin yang berada di negara ini.

Menteri KDN pada ketika itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam sidang media pada 18 Oktober 2022 berkata,”Perkara (dakwaan) seperti ini harus kita teliti, kemudian barulah kita umumkan (tindakan lanjut),” merujuk kepada laporan merujuk laporan akhbar New Straits Times (NST) mengenai kes terbabit yang turut dimuat naik dalam NST Online pada 18 Oktober 2022.

Dalam laporannya itu, NST mendakwa Mossad dipercayai merekrut rakyat tempatan untuk membantu rejim Zionis memburu anggota Hamas di Malaysia, termasuk dalam kes penculikan lelaki Palestin yang dipercayai aset Briged Hamas al-Qassam di di Jalan Mayang di sini, pada 10.40 malam, 28 Sept 2022.

Pada 14 Oktober 2022, sebelas individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan atas dakwaan menculik seorang warga Palestin, Omar Z M Albelbaisy Reeda bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit mangsa pada September2022. – HARAKAHDAILY 30/3/2024

Ulasan