Akauntan bertauliah bumiputera hanya 32%



Akauntan bertauliah bumiputera hanya 32%
MOHD. FAIRUZ A. RAZAK
Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
30 April 2024, 8:00 am


PETALING JAYA: Akauntan bumiputera bertauliah hanyalah 32 peratus daripada keseluruhan 37,576 tenaga kerja dalam sektor itu di negara ini, tahun lalu.

Walaupun ada peningkatan penyertaan bumiputera sebagai akauntan profesional dalam tempoh itu, ia tidak mampu melepasi angka bukan bumiputera yang jumlahnya sekitar 25,000 orang.

Berdasarkan jawapan bertulis Kementerian Sumber Manusia di Dewan Rakyat pada Mac lalu, statistik akauntan bertauliah bumiputera tahun lalu adalah 12,121 orang berbanding 25,456 bukan bumiputera.

Malah sepanjang tempoh lima tahun sejak 2019, berlaku perbezaan antara akauntan profesional bumiputera pada setiap tahun antara 11,403 dan 12,164 orang berbanding bukan bumiputera antara sekitar 25,036 dan 25,537 iaitu perbezaan hampir 50 peratus.

Timbalan Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia, Dr. Mohd. Fairuz A. Razak berkata, antara faktor utama bumiputera tidak minat menceburi profesion itu kerana tidak mahu menduduki 13 peperiksaan profesional sebelum ditauliahkan.

Katanya, faktor kedua adalah proses mendapatkan sijil kelayakan di bawah Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) agak tinggi yang mene­lan kos sehingga RM24,000.


“Kedua-dua faktor tersebut membataskan pertambahan jumlah akuntan dalam kalangan bumiputera.

“Pelajar bumiputera akan memilih menyertai bidang lain daripada terpaksa berbelanja lebih dan menduduki 13 peperiksaan profesional,” kata beliau.

Selain itu, kata Mohd. Fairuz, ramai siswazah bumiputera juga tidak melihat kepentingan dan masa depan jurusan akauntan kerana beranggapan tidak mempunyai masa depan meskipun pekerjaan itu menjanjikan pendapatan lumayan dan tinggi.

“Ramai melihat usaha untuk mendapatkan sijil menyusahkan, tetapi mereka tidak sedar bahawa kepentingan tauliah ini untuk masa depan mereka. Apatah lagi wujud stigma gaji akauntan kecil, sedangkan sekitar RM3,800 ke atas yang berdasarkan tawaran majikan atau syarikat.

“Malah ada menganggap laluan mendapatkan sijil profesional menelan kos di samping perlu memperbaharui tauliah sekitar RM1,500 secara tahunan. Namun memandangkan dunia sentiasa berubah, jadi pembelajaran perlu berterusan untuk memastikan pembaharuan dunia perakaunan selari dengan perkembangan semasa,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan melahirkan 60,000 profesional perakaunan bagi menyokong keperluan pertumbuhan ekonomi menjelang 2030 seterus menyediakan Malaysia mencapai 30 kuasa ekonomi terbesar dunia. Namun setakat ini ada hampir 38,00 akauntan bertauliah.

Mengulas lanjut, Mohd. Fairuz berkata, ramai generasi muda dan belia bumiputera masih stereotaip terhadap kerjaya akauntan kerana tidak melihat kepentingan sektor kewangan dan audit bukan sahaja dalam syarikat besar, tetapi juga membabitkan industri kecil dan sederhana (IKS).

Katanya, dunia perakaunan bukan sahaja melihat kemasukan dan pengeluaran wang semata-mata, sebaliknya melihat hala tuju dan perancangan kewangan sesebuah syarikat.

“Malah tiada pendedahan dan menyebabkan kurangnya penyertaan Bumiputera sebagai akauntan bertauliah.

“Sedangkan peluang kini terbuka luas, malah ada agensi Bumiputera seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) menawarkan pembiayaan untuk menyambung sijil profesional akauntan tetapi mengapa masih kurang untuk golongan Bumiputera bergelar akauntan bertauliah,” katanya.

Justeru beliau berkata, semua pihak khususnya warga pendidik diminta memainkan peranan untuk menekankan kepentingan dan meningkatkan kerjaya profesional perakaunan dalam kalangan belia.

“Ramai dimomokkan bahawa kerjaya akauntan tidak mempunyai masa depan kerana bimbang impak bidang Kecerdasan Buatan (AI). Sebaliknya perkembangan ini masih memerlukan lebih ramai manusia kerana semua proses audit dan kewangan masih memerlukan sentuhan kemanusiaan,” katanya. – UTUSAN

Ulasan