Briged Nahal Israel berundur dari Gaza untuk persiapan serangan di Rafah





Briged Nahal Israel berundur dari Gaza untuk persiapan serangan di Rafah
PASUKAN Briged Nahal dilihat di koridor Netzarim, tengah Gaza dalam gambar edaran yang diterbitkan semalam. -AGENSI
Oleh Wartawan Luar Negara
26 April 2024, 12:11 am



BAITULMUQADDIS: Briged Nahal dari Pasukan Pertahanan Israel (IDF) ditarik balik dari Gaza sebagai persiapan bersama seluruh Divisyen ke-162 untuk menjalani operasi masa depan termasuk serangan Israel di Rafah.

Lapor The Times of Israel, dalam tiga bulan lalu, Nahal beroperasi di koridor Netzarim yang merentasi Gaza dari kawasan Be’eri di selatan Israel ke pantai Gaza.


Koridor itu dibina di sekitar jalan di selatan Kota Gaza bagi membolehkan IDF melakukan serbuan di utara dan tengah Gaza sambil membenarkan Israel mengawal akses ke utara bagi rakyat Palestin yang ingin pulang selepas melarikan diri ke selatan.

Ia juga membolehkan Israel menyelaraskan penghantaran bantuan kemanusiaan terus ke utara Gaza.

IDF berkata, jalan sepanjang 6.8 kilometer dan hanya mengambil masa tujuh minit untuk menyeberanginya.

Di koridor itu, IDF membina tiga pangkalan operasi hadapan yang membolehkan berpuluh-puluh serbuan tepat dilakukan di utara dan tengah Gaza, kata tentera.


Nahal digantikan oleh dua briged simpanan di tengah Gaza, Briged Berperisai Yiftah ke-679 dan Briged Infantri Carmeli ke-2.

Briged itu kini akan diberi masa untuk rehat dan rawat, latihan dan meneliti rancangan untuk serangan masa depan di Gaza.

Ulasan