Lupakan ideologi politik, bersatu demi bangsa, agama Islam
April 6, 2024
Share
KUALA LUMPUR: Di tengah-tengah gemuruh politik dan perbezaan ideologi, terdapat tanggungjawab dan kepentingan yang lebih besar iaitu kepentingan untuk bersolidariti demi masa depan bangsa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh Omar berkata, meskipun berasal dari parti politik yang berbeza atau latar belakang yang berlainan, namun sebagai pejuang agama, bangsa dan tanah air, umat Islam memiliki tanggungjawab bersama untuk memastikan masa depan yang lebih baik bagi generasi akan datang.
“Solidariti bukanlah semata-mata tentang kesamaan ideologi, namun tentang matlamat perjuangan kita yang sama, iaitu untuk membangunkan bangsa yang kuat dan sejahtera,” tegasnya.
Menurut beliau, matlamat tersebut hanya akan menjadi kenyataan yang signifikan jika semua bersatu sebagai satu dan mengatasi perbezaan serta kemujudan politik.
“Kita mempunyai tanggungjawab untuk mempromosikan toleransi, kedamaian, dan harmoni antara kita.
“Pejuang bangsa dan tanah air memiliki tanggungjawab untuk mempertahankan kedaulatan, keutuhan dan kemakmuran negara.
“Ini adalah tugas yang mengatasi kepentingan parti politik atau kepentingan peribadi.
“Kita harus bersama-sama menghadapi tentangan seperti kemiskinan, ketidakadilan dan ketempangan untuk menciptakan kesempatan yang adil bagi semua warga negara,” jelasnya.
Tambah Nurul, masa depan generasi akan datang bergantung kepada tindakan kita membangunkan jambatan, bukannya tembok yang menghalang penyatuan dan menyebabkan perpecahan.
“Seterusnya, bersama-sama kita dapat menciptakan lingkungan yang kondusif bagi pertumbuhan dan perkembangan anak-anak muda, memberikan mereka warisan bangsa yang penuh dengan nilai-nilai agama yang tinggi serta beradab sopan.
“Dalam menghadapi tentangan kompleks dan landskap politik yang berubah, mari kita muhasabah bahawa di sebalik perbezaan kita, kita adalah satu bangsa, satu tujuan dan satu masa depan yang harus kita bangun bersama,” katanya.
Oleh yang demikian, Nurul mengambil keputusan untuk bersolidariti dengan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh yang memperjuangkan isu agama, bangsa dan tanah air (ABATA); dan mengecam sekeras-kerasnya apa jua tindakan yang menyentuh sensitivit agama, bangsa dan tanah air ini.
“Sebagai pemimpin muda, kami akan tekad dan bersungguh untuk memikul tanggungjawab mempertahankan ideologi nenek moyang kami dari dulu lagi iaitu perjuangan ABATA.”
“Saya akan bersama siapa pun, dari parti mana pun asalkan tindakannya seiring dengan ideologi perjuangan nenek moyang kami yang berpegang pada kontrak sosial dan berlandaskan perlembagaan persekutuan.
“Apa sahaja yang akan menjejaskan sensitiviti kami seperti di dalam kes stoking yang bertulis kalimah Allah dan seumpama dengannya amatlah saya tentang. Damage has been done!” tegasnya.
Oleh itu, beliau berharap agar pihak kerajaan segera menjernihkan keadaan dan berhentilah menyimbah minyak di atas bara yang menyala. – HARAKAHDAILY 6/4/2024
Ulasan
Catat Ulasan