Masih wujudkah Proklamasi Orang Melayu?
PROKLAMASI Orang Melayu yang dilancarkan oleh Dr. Mahathir Mohamad masih wujud dan melaksanakan agenda untuk memperkasakan penyatuan dan maruah orang Melayu. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Oleh Meja Rencana
2 April 2024, 9:00 am
SAUDARA PENGARANG,
SUDAH setahun berlalu semenjak bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melancarkan Proklamasi Orang Melayu iaitu pada Mac 2023. Namun, persoalannya masih adakah lagi Proklamasi Orang Melayu?
ADVERTISING
Proklamasi Orang Melayu yang terdiri dari 12 perkara dan dipersetujui oleh ramai orang Melayu dari pelbagai peringkat termasuk pemimpin-pemimpin Melayu dari parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masih segar dan aktif.
Proklamasi Orang Melayu adalah dokumen yang telah ditandatangani oleh ramai orang Melayu yang bersetuju dengan kandungannya serta juga merupakan satu komitmen untuk bertaut dan bersatu mempertingkatkan maruah bangsa agar sentiasa dihormati.
Proklamasi Orang Melayu tidak pernah padam, ia sentiasa hidup seperti bara api yang sedang menunggu untuk disemarakkan.
Proklamasi Orang Melayu diperlukan untuk menjadi pemangkin kepada penyatuan bangsa Melayu.
Malah diperlukan untuk mempertingkatkan maruah orang Melayu supaya menjadi satu bangsa yang sentiasa dihormati.
Proklamasi Orang Melayu juga diperlukan untuk menyedarkan bangsa Melayu tentang pentingnya mempertahankan Tanah Melayu demi kesucian agama Islam.
Pihak sekretariat sedang membuat perancangan untuk membawa semangat Proklamasi Orang Melayu kepada jiwa semua bangsa Melayu di seluruh negara tanpa mengira latar belakang politik ataupun kumpulan-kumpulan NGO tertentu.
Ini bermakna Proklamasi Orang Melayu melangkaui batasan politik. Ia tentang penyatuan dan maruah orang Melayu.
Kepada mereka yang telah menandatangani borang proklamasi dan memahami isi kandungannya, ayuh kita semarakkan semangat penyatuan bangsa.-UTUSAN
AZMAN MOHD. HASHIM
Sekretariat Tanah Air
Ulasan
Catat Ulasan