Dua lelaki ditahan cuba ‘ceroboh’ Istana Negara



Dua lelaki ditahan cuba ‘ceroboh’ Istana Negara
POLIS memeriksa Perodua Kembara dinaiki dua suspek yang cuba menceroboh Istana Negara. – IHSAN POLIS
Oleh NURAINA HANIS ABD . HALIM
19 Mei 2024, 7:01 am

PETALING JAYA: Dua lelaki yang cuba menceroboh Istana Negara, Jalan Sultan Abdul Halim dekat sini semalam, didakwa mahu berjumpa dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut anggota polis terhadap Perodua Kembara dinaiki ke­dua-dua suspek berusia 29 tahundan 37 tahun berasal dari Sabah dan Petaling Jaya itu menemukan sebilah parang dalam kenderaan terbabit.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, kejadian pada pukul 4.40 petang itu berlaku apabila kereta dinaiki kedua-dua suspek cuba memasuki Pintu 3, Istana Negara atas tujuan mahu berjumpa Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan suspek turut menemukan sebilah parang.

“Kereta mereka ditahan anggota bertugas dan ketika ditanya apa tujuan, mereka mendakwa mahu berjumpa Agong.

“Susulan itu, polis menahan dua lelaki berusia 29 tahun dan 37 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan serta penghantar makanan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, semalam.


Menurut Rusdi, hasil ujian saringan awal air kencing suspek adalah negatif dadah dan pemeriksaan lanjut mendapati mereka tidak mempunyai sebarang rekod lampau bersabit kes jenayah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 447/511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958.

“Kesemua suspek ditahan reman empat hari sehingga 21 Mei ini,” katanya.

Beliau menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan sesuatu berita yang tidak pasti. – UTUSAN

Ulasan