Kerajaan Madani bimbang kebangkitan rakyat




Kerajaan Madani bimbang kebangkitan rakyat
May 26, 2024


KOTA BHARU: Meskipun dilabel dengan ‘mahazalim’ dan ‘mahafiraun’, namun kerajaan ketika itu tidak pernah menyekat kebebasan pengamal media termasuk menyekat media milik pembangkang.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, kini pemerintah yang menggelarkan dirinya sebagai kerajaan Madani menyekat media yang tidak sehaluan agendanya.

Katanya, sejak negara mencapai kemerdekaan inilah kali pertama kad media yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia dirampas dan tidak dipulangkan sehingga hari ini.

“Kerajaan minta supaya pengamal media berani menyuarakan kebenaran, padahal ketika inilah tempoh di mana pengamal media dicengkam sehabis mungkin tengok apa berlaku kepada Harakah.

“Harakah sudah beroperasi berpuluh-puluh tahun, kad media Harakah pada zaman digelar Mahazalim dan Mahafiraun pun ketika itu tidak pernah rampas kad media lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada ceramah isu-isu semasa di Madrasah Raudah al Quran al Umari di Kampung Cherang Pulai Chondong dekat sini malam tadi.

Turut hadir ADUN Pulai Chondong, Ustaz Azhar Salleh; ADUN Melor, Wan Rohimi Wan Daud dan Ahli Parlimen Machang merangkap Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut mengulas mengenai kenyataan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil kerajaan Madani tidak akan mengekang kebebasan media dalam pelaporan berita.

Beliau berkata, kenyataan tersebut tidak menggambarkan wajah sebenar kerajaan sebaliknya kerajaan perpaduan Umno dan Pakatan Harapan pada hari ini paling takut kebangkitan rakyat.

Menteri Komunikasi itu turut diminta ‘cermin diri’ dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kata-kata, jika tidak mampu barisan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) hadiahkan cermin.

“Kerajaan hari ini merupakan kerajaan yang paling paranoid paling takut dengan kebangkitan rakyat, paling takut tiba-tiba kerajaan minta media berani untuk menyuarakan kebenaran.

“Saya barangkali rasa menteri ini dia kena beli kedai dua ringgit, cari cermin, kalau dia tiada cermin, kita minta wakil rakyat kita bawa seorang satu hadiahkan kepada beliau,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/5/2024

Ulasan