Batu Puteh: Tun M tidak ambil keputusan bersendirian

Batu Puteh: Tun M tidak ambil keputusan bersendirian
June 12, 2024

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan tidak meneruskan kes berkaitan Batu Puteh diputus Jemaah Menteri setelah mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak.


Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak membuat sebarang keputusan bersendirian kerana perlu mendapat pandangan peguam-peguam yang terlibat.

“Ketika itu kita cuba untuk mendapatkan persetujuan kerajaan Singapura dalam beberapa isu termasuk mengenai pembinaan jambatan dan Batu Puteh apabila kita dakwa milik Malaysia.

“Saya mendapat pandangan beberapa peguam yang mana mereka menyatakan kedudukan kerajaan Malaysia dalam kes Batu Puteh adalah lemah dan berisiko.

“Itu yang akhirnya kita pergi ke ICJ. Malaysia dan Singapura perlu menerima apa sahaja keputusan ICJ,” katanya ketika sidang media, hari ini. Turut hadir Ketua Penerangan PEJUANG, Muhammad Rafique Rashid Ali.

Pada 23 Mei 2008 Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang terletak kurang satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.

ICJ juga memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mendakwa Dr Mahathir membuat keputusan secara sembunyi yang menyebabkan negara kehilangan Pulau Batu Putih.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan Dr Mahathir supaya prosiding RCI bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dijalankan secara terbuka.

Dr Mahathir juga berkata, Kabinet Malaysia ketika itu tidak menentang cadangannya supaya kerajaan tidak seharusnya meneruskan lagi kes Batu Puteh.

“Jelas berbeza dengan dakwaan Azalina yang menyatakan kononnya saya mengambil keputusan secara senyap tanpa melakukan sebarang perbincangan ketika mentadbir kerajaan.

“Kerajaan perlu mengambil perhatian terhadap perjanjian yang dipersetujui antara Malaysia dengan Singapura iaitu menerima apa sahaja keputusan yang dibuat ICJ terhadap Batu Puteh.

“Ini sangat penting kerana kita sama-sama telah mencapai kata sepakat mengenai perkara ini dan sekiranya mungkir janji, maka nama buruk akan kena terhadap Malaysia balik.

“Saya tidak mengambil keputusan secara bersendirian apabila Malaysia tidak meneruskan kes Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai kedaulatan Batu Puteh,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/6/2024

Ulasan