Bekalan beras tempatan diterima dua kali sebulan





Bekalan beras tempatan diterima dua kali sebulan
BERAS tempatan terus sukar diperoleh di Kluang apabila bekalan hanya diperoleh dua kali sebulan dalam jumlah yang mampu bertahan untuk jualan bagi tempoh sehari sahaja.
Oleh ADNAN IBRAHIM

KLUANG: Isu ketiadaan beras tempatan dalam pasaran terus menghantui penduduk apabila sukar memperoleh bekalannya walaupun terpaksa menjelajah ke beberapa pasar raya atau kedai runcit di bandar ini.

Keadaan itu membuatkan orang ramai terpaksa membeli beras import yang dijual lebih tinggi, iaitu RM38 dan ke atas bagi sekampit 10 kilogram, sekali gus meningkatkan perbelanjaan harian, khususnya bagi golongan yang mempunyai keluarga besar.

Seorang pekerja sebuah pasar raya, Roslan Ariffin, 35, berkata, bekalan beras tempatan di tempatnya bekerja hanya dihantar oleh pembekal dua kali sebulan dengan jumlah hanya antara 100 atau 150 kampit setiap kali penghantaran.

Jumlah itu hanya mampu bertahan dalam tempoh satu hari walaupun penjualan dihadkan hanya satu kampit untuk setiap pembelian bagi sebuah keluarga.

“Walau bagaimanapun, di kedai runcit keadaannya berbeza apabila hanya menerima bekalan sebanyak 50 kampit bagi sekali penghantaran untuk tempoh dua minggu sekali.

“Tak mungkin jumlah itu mencukupi untuk bekalan kepada lebih 100,000 penduduk di bandar ini yang kebanyakannya golongan B40,” katanya kepada Utusan Malaysia.


Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Hamzah, 40, memberitahu keluarganya memerlukan tiga kampit beras (30 kilogram) setiap bulan dengan kos RM115 apabila membeli beras import berbanding hanya RM78 sekiranya menggunakan beras tempatan pada harga RM26 sekampit.

Katanya, statistik pengeluaran beras tempatan yang diumumkan kerajaan berjumlah ratusan ribu tan sebulan seakan-akan hanya angka semata-mata kerana jumlah itu sewajarnya mampu meningkatkan jumlah bekalan beras tempatan dalam pasaran. – UTUSAN

Ulasan