Bursa Malaysia ditutup rendah, jatuh di bawah paras 1,600 mata
INDEK FBM KLCI Bursa Malaysia susut di bawah paras 1,600 mata di akhir dagangan semalam.
Oleh HENDRA WINARNO
21 Jun 2024, 7:50 am
PETALING JAYA: Bursa Malaysia ditutup rendah di bawah paras 1,600 mata berikutan aktiviti pengambilan untung yang berterusan dalam keseluruhan pasaran sejak kelmarin.
Pada pukul 9.11 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 7.45 mata kepada 1,592.34 daripada 1,599.79 ketika ditutup pada Rabu, merosot di bawah paras utama 1,600.
Indeks petunjuk pasaran itu terus mengekalkan trend menurun apabila susut 0.51 peratus atau 8.12 mata kepada 1,591.67 pada pukul 12.30 tengah hari sebelum ditutup pada 1592.69, iaitu 7.10 mata lebih rendah daripada penutupan kelmarin.
Penganalisis ekonomi dan Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, aktiviti pengambilan untung adalah sesuatu yang biasa berlaku apabila pelabur melihat peluang untuk merealisasikan keuntungan mereka setelah bursa mencapai tahap tertentu.
“Keadaan ini menyebabkan tekanan jualan yang lebih tinggi, yang seterusnya mendorong indeks ke bawah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, beliau berkata, bursa Amerika Syarikat (AS) yang tidak beroperasi semalam turut menyumbang kepada sentimen negatif di pasaran negara.
“Ketidakhadiran bursa utama seperti AS memberikan ketidakpastian kepada pelabur tempatan yang bergantung kepada petunjuk pasaran global untuk membuat keputusan pelaburan.
“Bagaimanapun, impak ini hanya bersifat sementara dan menjangkakan pasaran akan kembali menghampiri nilai 1,600 mata dalam masa terdekat.
“Saya melihat ini sebagai peluang untuk pasaran menyesuaikan diri dan seterusnya mencari kestabilan di sekitar paras 1,600 mata,” ujarnya.
Beliau turut menjangkakan prestasi bursa akan terus berada sekitar paras 1,600 hingga 1,610 mata dalam minggu ini, didorong oleh sentimen positif untuk melepasi paras 1,600 mata.
“Sentimen untuk melepasi paras 1,600 mata akan menjadi pemangkin kepada aktiviti belian yang lebih kukuh, dan ini mungkin membantu mengimbangi tekanan jualan dari aktiviti pengambilan untung,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohamad Khair Afham Muhamad Senan berpandangan, penurunan itu sudah dijangkakan, terutamanya disebabkan oleh rasionalisasi subsidi diesel dan perayaan Aidiladha pada Isnin dan Selasa lalu.
“Penarikan subsidi diesel baru-baru ini telah mempengaruhi sektor logistik. Kebanyakan pemilik lori atau logistik tidak mengetahui bahawa mereka boleh memohon kad untuk subsidi semula.
“Ini menyebabkan ketidakpastian dalam kos operasi mereka,” katanya.
Beliau berkata, sentimen ekonomi jangka panjang rakyat Malaysia juga menurun yang menjangkakan kenaikan harga barang dalam masa terdekat akibat isu ini.
“Oleh itu, rakyat mula menyimpan dan tidak berbelanja banyak seperti yang dijangkakan kerana khuatir akan kenaikan harga barang,” katanya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan