Diesel hilang, makan banyak telur: Rakyat pencuri, pengemis?

Diesel hilang, makan banyak telur: Rakyat pencuri, pengemis?
June 19, 2024

Isham Jalil

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan menurunkan harga telur kepada tiga sen adalah lebih teruk berbanding dengan zaman Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan dahulu.

Mantan Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berkata, di Seberang Perai kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada menyatakan tentang kerajaan yang telah menurunkan harga telur kepada 3 sen.

“Kata Perdana Menteri, penurunan harga telur ini sebab terdapat kajian yang menyatakan keluarga B40 banyak makan telur iaitu 4 biji sehari (atau sebiji sehari seorang),” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, tambah Isham, tindakan kerajaan itu adalah jauh lebih teruk daripada zaman Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan kerana rakyat bukanlah peminta sedekah (pengemis) tetapi pada masa yang sama, terpaksa bergelut dengan kenaikan harga barang secara berganda sebagai impak daripada kenaikan harga diesel.

Menurut Isham lagi, dalam ucapan Anwar di Seberang Perai semalam Perdana Menteri masih lagi mempertahankan keputusannya untuk memotong subsidi diesel dan menaikkan harga diesel dengan alasan kononnya subsidi tersebut ‘pergi’ (hilang) kepada warga asing dan syarikat asing.

“Sebelum ini saya sudah tanya, warga asing mana yang ramai-ramai bawa kereta dan bawa lori mencuri diesel berbillion-billion liter setahun atau berpuluh juta liter sehari ini?

“Kebanyakan daripada mereka pun tidak mempunyai lesen memandu. Kalau ada yang curi, tidaklah sebanyak berbillion-billion seperti yang Perdana Menteri kata.

“Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pula berkata nelayan-nelayan ini yang kerja mereka kononnya curi diesel masuk dalam perahu dan pergi jual kepada bot asing di tengah lautan.

“Kalau mereka curi berpuluh juta liter diesel sehari melalui perahu, pastinya berpuluh-puluh ribu perahu berpesta jual diesel di tengah lautan setiap hari.

“Dan andaikan perkara yang Rafizi sembang ini berlaku, Perdana Menteri pula tuduh nelayan-nelayan ini salah guna subsidi tetapi masih terus beri mereka subsidi diesel?

“Bukankah ini akan meneruskan dan menggalakkan lagi kejadian kecurian diesel kononnya oleh nelayan-nelayan ini?,” soal beliau.

Isham juga dalam pada itu menyatakan bahawa beliau menyokong pemberian subsidi diesel kepada nelayan.

“Cuma hujah Perdana Menteri di atas adalah berpusing-pusing (circular) dan tidak masuk akal sebab terus beri subsidi diesel kepada nelayan-nelayan ini tetapi masa yang sama tuduh mereka salah guna dan curi subsidi diesel.

“Mungkinlah ada segelintir nelayan yang salahguna diesel, tetapi bukanlah seperti yang Perdana Menteri kata.

“Angka-angka Perdana Menteri berikan adalah merepek dan mengarut. Untuk memukul rata dan menuduh nelayan sebegitu adalah tidak betul.

“Ia juga memberi gambaran negatif bahawa rata-rata agensi-agensi penguatkuasa pun tidak buat kerja, makan gaji buta atau makan rasuah. Ini tidak adil kepada mereka.

“Perdana Menteri sendiri adalah ketua kerajaan, jika agensi kerajaan tidak buat kerja atau makan rasuah, apa yang beliau buat? Duduk sahaja dan naikkan harga diesel untuk rakyat?” tegasnya.

Tambah beliau, sekiranya penyeludup dan warga asing yang salah, maka tindakan melalui penguatkuasaan perlu diambil ke atas dan bukannya menghukum rakyat melalui kenaikan harga minyak secara mendadak.

“Kerajaan seharusnya berterus terang kepada rakyat bahawa duit RM4 billion ini diambil daripada rakyat dan bukannya daripada warga asing atau penyeludup.

“Bukan sahaja RM4 billion ini rakyat terpaksa bayar kepada kerajaan, mereka juga perlu menanggung kesan berganda dari kenaikan harga barang yang mungkin berkali ganda lebih besar dari RM4 billion tersebut,” hujah beliau.

Isham menegaskan lagi, apabila kerajaan menaikkan harga diesel, rakyat perlu bayar kenaikan tersebut dari poket mereka terhadap kos-kos lain juga.

“Yang kerajaan pulangkan kepada rakyat dan turunkan harga adalah telur 3 sen iaitu seorang makan sebiji telur sehari, oleh itu sebulan kamu beri 90 sen seorang.

“Ini lebih teruk dari ketika Lim Guan Eng jadi Menteri Kewangan dulu, sedangkan rakyat bukannya peminta sedekah.

“Daripada kerajaan naikkan harga diesel untuk dapat RM4 billion dan menyebabkan harga barang melambung tinggi, saya cadangkan lebih baik kerajaan selesaikan masalah ketirisan Cukai Jualan Dan Perkhidmatan (SST) yang berjumlah RM10 billion setahun itu.

“Namun saya rasa kerajaan tidak berani buat sedemikian tetapi sebaliknya terus menekan rakyat dengan memotong subsidi minyak secara mendadak,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/6/2024

Ulasan