DUN Kelantan: Kerajaan sedia selaras kadar gaji penjawat awam



DUN Kelantan: Kerajaan sedia selaras kadar gaji penjawat awam
MOHD. Nassaruddin Daud semasa sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan (DUN) Ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan hari ini-IHSAN UPKN
Oleh MUSTAQIM MOHAMED
5 Jun 2024, 10:45 am

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan sedia menyelaras kadar gaji dan elaun tetap penjawat awam susulan pengumuman kenaikan gaji oleh Kerajaan Persekutuan pada 1 Mei lalu.

Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, penetapan kadar gaji dan elaun tetap penjawat awam negeri Kelantan adalah terikat dengan penetapan perkara sama oleh Kerajaan Persekutuan.

“Sebarang pelarasan kadar gaji dan elaun oleh ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan akan turut terpakai kepada kerajaan negeri.

“Secara keseluruhannya, setiap pekeliling perkhidmatan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam akan turut dipanjangkan kepada penjawat awam negeri termasuk Kelantan,” katanya ketika menjawab soalan Mohd. Azizi Abu Naim (Bersatu-Nenggiri) pada sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan (DUN) Ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Mohd. Nassuruddin memberitahu, sehubungan itu, kerajaan negeri akan turut menyemak kadar gaji kakitangannya seperti pekeliling yang akan diterima nanti sebelum pelaksanaannya diputuskan oleh pihak berkuasa negeri.

Sementara itu, bagi menjawab soalan tambahan daripada Nor Asilah Mohamed Zin (Pas-Limbongan), Mohd. Nassuruddin memaklumkan, kerajaan negeri sedang mempertimbangkan penyelarasan gred gaji dengan deskripsi tugas pegawai dan kakitangan tetap.


“Insya-Allah penyelaran sama akan turut dilaksanakan bagi pegawai dan kakitangan kontrak di urusetia kerajaan negeri berdasarkan merit dan bebanan kerja mereka,” ujarnya.-UTUSAN

Ulasan