Lebih 40,000 kes strok haba di India


Lebih 40,000 kes strok haba di India
SEORANG wanita menggunakan payung bagi melindungi dirinya dari cuaca panas melampau di New Delhi.- AGENSI
Oleh Wartawan Luar Negara
20 Jun 2024, 2:07 pm

NEW DELHI: India merekodkan kira-kira 40,000 kes strok haba akibat gelombang panas berpanjangan yang membunuh lebih 100 orang di seluruh negara setakat ini.

Suhu di utara India meningkat kepada hampir 50 darjah Celsius, dianggap salah satu gelombang haba terpanjang yang direkodkan.

Hospital merekodkan peningkatan kemasukan pesakit akibat gelombang haba, dengan suhu siang dan malam meningkat selama beberapa minggu sejak permulaan musim panas pada Mac.

Kementerian Kesihatan mengarahkan institusi persekutuan dan negeri untuk memastikan pesakit diberi perhatian, manakala hospital di New Delhi diminta menyediakan lebih banyak katil.

Pegawai kementerian itu berkata, terdapat lebih 40,000 kes strok haba dan sekurang-kurangnya 110 kematian disahkan antara 1 Mac dan 18 Jun.

Jabatan cuaca juga meramalkan suhu melebihi paras normal bulan ini, kerana menurut pihak berkuasa, bandar raya India menjadi ‘perangkap haba’ akibat pertumbuhan tidak seimbang.


Sementara itu, pihak berkuasa berkata, bahagian timur laut negara bergelut dengan bencana banjir akibat hujan lebat.

Hujan tanpa henti di negeri timur laut Assam mengakibatkan banjir dan tanah runtuh, sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya enam orang setakat Selasa.

Lebih 160,000 orang turut terjejas, apabila air sungai di Kopili – salah satu anak sungai terbesar Brahmaputra – melepasi paras bahaya.

Menurut pegawai, lebih 30 orang di negeri itu meninggal dunia sejak akhir Mei dalam kejadian banjir dan tanah runtuh.- REUTERS

Ulasan