‘Pyanhabib sahabat setia, kerap mempertahan saya’
Anak Allahyarham Pyanhabib iaitu Ahmad Ashman Farabi (tengah) dan Najihah (depan, kanan) menyiram air mawar di pusara bapa mereka selepas jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, Keramat semalam. – Utusan/AMIR KHALID
Oleh WAFA AULA
6 Jun 2024, 7:31 am
HULU KLANG: Penyanyi dan komposer Datuk M. Nasir menyifatkan Pyanhabib Rahman seorang sahabat paling setia dan kerap mempertahankannya jika berlaku sesuatu yang dianggap tidak adil.
Malah kata seniman itu, Allahyarham yang bergandingan dengan beliau menerusi filem Kembara Seniman Jalanan pada 1986 turut disifatkan sebagai individu paling lantang mempertahankannya.
“Saya mengenali arwah sejak 1980-an. Apa yang boleh saya katakan, dia kawan yang setia.
“Dia sentiasa mempertahankan saya jika berlaku ketidakadilan kepada saya,” katanya yang ditemui Utusan Malaysia di Masjid As-Sobirin di sini, semalam.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir malam Selasa lalu di kediamannya dekat sini.
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4 selepas diurus dan disolatkan di Masjid As-Sobirin.
Kali terakhir penyanyi lagu Mustika itu bertemu Pyanhabib adalah ketika penggambaran video promosi untuk konsert Cipta M.N45IR yang dilaksanakan baru-baru ini.
“Saya tidak terperanjat dengan pemergiannya sebab kesihatannya sudah merosot sewaktu penggambaran itu.
“Dia kelihatan penat, beberapa kali salah mengucapkan dialog, tanpa sedar menukar ayat this is the time kepada what is the time.
“Tapi cara sebutannya itu meninggalkan kesan kepada diri saya,” katanya lagi.
Penyanyi yang popular dengan gelaran ‘sifu’ itu bagaimanapun terkilan kerana tidak berpeluang berkongsi pentas dengan Allahyarham menerusi sebuah segmen yang dijadualkan pada konsertnya sekitar Ogos ini.
“Saya rasa kehilangan dan terkilan apabila dia tidak bersama pada konsert itu nanti.
“Mengikut perancangan, dia sepatutnya ada dalam konsert itu. Ada bahagiannya di situ,” kongsinya.- UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan