Usul JK Hak: ‘Speaker ada kuasa, dia boleh tangguhkan’
June 24, 2024
KUALA LUMPUR: Tindakan merujuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan ke Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan Ahli Parlimen di bawah Peraturan Mesyuarat 36(12) disifatkan sebagai tyranny of the majority.
Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sepatutnya mempertimbangkan hujah bahawa tindakan tersebut adalah sesuatu yang bersifat subjudis.
“Speaker ada kuasa, kalau dia kata dia minta mungkin tempoh masa dia boleh tangguhkan. Mungkin dibawa ke masa yang ke hadapan ataupun masa yang lain boleh dibuat begitu, tidak diteruskan.
“Hanya apa yang kita tahu nanti ‘bulldoze’ sajalah. Jadi ini satu langkah yang saya fikir tidak wajar, malahan bukan saya tidak wajar dikatakan illegal,” ujarnya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini. (Foto atas)
Dalam persidangan sesi pagi tadi, semua Ahli Parlimen Pembangkang bertindak keluar Dewan apabila Johari membenarkan Wan Saiful dirujuk kepada Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan Ahli Parlimen di bawah Peraturan Mesyuarat 36(12) dengan menyifatkan ia sebagai subjudis.
Meskipun beberapa Ahli Parlimen pembangkang turut bangkit mempersoalkan isu sama, Johari tetap membenarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said untuk membentangkan usul terbabit, yang kemudian disokong timbalannya, M Kulasegaran.
“Jadi saya tak tahu apa tindakan di sudut undang-undang bila soal Speaker membuat keputusan yang ‘illegal’ dalam Parlimen. Jadi sebab itu kami menyatakan bantahan. Kita keluar daripada Dewan. Kita tak mendengar apa pun perbahasan mereka.
“Kerana pastinya orang kata tyrany of the majority. Kerana mereka ada bilangan yang besar. Kita tak bahas-bahas pun tak kisah. Akhirnya mereka akan luluskan juga usul yang mereka bentangkan,” kata Muhyiddin.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata bahawa Speaker telah diingatkan bahawa usul itu adalah tidak mengikut peraturan dan sepatutnya ditolak dan tidak boleh dibentangkan oleh pihak kerajaan.
“Itu asas yang utamanya dalam ‘wording’ usul itu sendiri dalam para yang ketiga dengan jelas menteri yang membentang tu mengatakan bahawa Tasek Gelugor telah membawa perkara yang di dalam pertimbangan mahkamah dalam bahasa undang-undangnya subjudis.
“Di bawah peraturan mesyuarat ini kalau perkara itu merupakan subjudis, ianya tidak boleh dibincang, tidak boleh dibawa untuk perbincangan untuk perbahasan. Itu dari segi undang-undang kita menyatakan itu subjudis kerana disebut sendiri oleh usul itu,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya menyifatkan perkara itu sebagai satu kesalahan undang-undang atau error-in law.
“Jadi apa yang diputuskan oleh Speaker satu yang illegal satu yang tidak sah bagi kami. Oleh sebab itulah walaupun kami diberikan peluang untuk berbahas, satu orang saya telah kemukakan kepada Yang Berhormat Speaker tadi.
“Pada tahun 2010 dan pada masa itu ketua pembangkang dihadapkan ke jawatankuasa ini dibenarkan tujuh orang untuk berbahas. Semua yang ada dalam kerajaan sekarang ni sebahagian besarnya berbahas pada masa itu,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/6/2024
Ulasan
Catat Ulasan