Adun Rembia sertai Pas Jun tahun lalu


Adun Rembia sertai Pas Jun tahun lalu
Kuala Lumpur: Pas hari ini mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis menyertai parti itu.
Ringkasan Berita

Adun Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis menyertai Pas pada 10 Jun 2023.

RUU Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 berkaitan lompat parti diluluskan pada 31 Julai 2023.

Dun Melaka sekarang mempunyai tiga wakil pembangkang.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keahlian Muhamad Jailani yang juga merupakan wakil rakyat Umno diterima pada 10 Jun tahun lalu, namun diumumkan secara rasmi hari ini.

Beliau juga menganggap keputusan Muhamad Jailani menyertai parti itu bukan sebagai lompat parti kerana pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 berkaitan lompat parti diluluskan pada 31 Julai 2023.

"Pada masa ini (10 Jun) di Melaka belum ada undang-undang anti lompat parti. Maknanya pada masa ini siapa nak tukar parti, sebagai mana seruan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (Ketua Menteri Melaka) sebelum Julai, dia jemput Adun PN sertai (blok kerajaan) tetapi (sebaliknya) Adun Kerajaan Perpaduan (Muhamad Jailani) telah memohon menyertai PN melalui Pas.
Lagi Berita






"Jadi, Dun Melaka sekarang bukan ada dua wakil pembangkang tetapi tiga orang pembangkang.


"Ia masing-masing dari Dun Bemban, Sungai Udang dan sekarang Adun Rembia daripada parti Umno," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.

Mengulas mengenai sebab pengumuman itu dibuat hari ini, Takiyuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Kota Bharu menyatakan ia merupakan strategi Perikatan Nasional (PN), selain masa yang sesuai.

"Semasa (sidang) Parlimen, kami pakai lilitan putih ini untuk membantah keputusan daripada Parlimen apabila enam ahli PN yang jelas meninggalkan prinsip parti iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengikut undang-undang, dia terhenti menjadi ahli Bersatu.

"Dalam Perlembagaan 49A (1B) dia memang sepatutnya terpecat menjadi Ahli Parlimen di keenam-enam kawasan tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Jailani ketika sidang media sama berkata, keputusan untuk menyertai Pas adalah bagi bersama-sama berjuang dengan rakyat yang didakwanya berdepan kesusahan ketika ini.

Menurutnya, sebelum ini pihaknya pernah menghantar surat kepada Lembaga Disiplin Umno memohon untuk memecat keahliannya daripada parti itu.

"Saya sudah minta cara baik tetapi digantung (keahlian). Ibaratnya, kamu kahwin dengan saya, tetapi kamu seksa saya. Gantung tidak bertali.

"(Mereka) sekat peruntukan (kawasan Dun) dan rampas pejabat saya. Macam mana saya nak berkhidmat?" katanya.

Berdasarkan surat Lembaga Disiplin Umno yang bertarikh 28 Ogos tahun lalu, Muhamad Jailani didakwa melakukan sabotaj terhadap parti kerana dengan sengaja hadir pada majlis pengumuman calon PN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Simpang Jeram di Bakri, Johor pada 23 Ogos.

Ulasan